Sibuk bekerja punca sejuta rakyat tak tegur jiran

Sibuk bekerja punca sejuta rakyat tak tegur jiran

GOTONG-royong sesama jiran dan bertegur sapa merupakan amalan mulia yang dituntut dalam setiap agama. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sibuk bekerja didakwa menjadi punca sejuta daripada 14.8 juta rakyat Malaysia yang menggunakan media sosial mengakui tidak pernah berinteraksi langsung dengan jiran walaupun sekali dalam sebulan.

Jumlah itu diperoleh hasil bancian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan dapatan daripada Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) terhadap 59.9 peratus rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas.

Seramai 13.8 juta daripada 14.8 juta responden atau 93.5 peratus masih berinteraksi dengan jiran secara setiap hari, seminggu dan sebulan.

Berdasarkan jumlah tersebut, seramai 958,808 rakyat Malaysia terdiri daripada 480,624 perempuan dan 478,184 lelaki mengakui tidak pernah berinteraksi dengan jiran dalam tempoh sebulan.

Daripada jumlah itu, masyarakat Cina mencatatkan jumlah yang besar iaitu sekitar 0.5 juta orang, bumiputera pula 0.3 juta, India 0.07 juta dan lain-lain bangsa 8,200 orang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Sosiologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, elemen penting dalam mengukuhkan ikatan kemasyarakatan adalah dengan interaksi sosial supaya keharmonian dapat dikekalkan.

Namun, katanya, konsep kejiranan semakin renggang atau tidak lagi diberikan keutamaan oleh masyarakat terutamanya penduduk di bandar besar.

“Antara puncanya disebabkan kesibukan menjalankan kerjaya masing-masing. secara umumnya ramai di antara mereka keluar pagi balik malam dan apabila berada di rumah dalam keadaan penat dan sebagainya. Jadi ruang atau masa untuk menjalinkan hubungan sosial sangat sukar.

“Senario hari ini menjadikan kita berfungsi sedemikian rupa, walau bagaimanapun kita tidak boleh berterusan sebegini kerana ia akan memberikan implikasi tidak baik kepada konsep kejiranan dan keharmonian bermasyarakat,” katanya.

Beliau berkata, perlu ada kaedah atau jalan yang baik walaupun sibuk mengejar kerjaya masing-masing namun masih mampu untuk mewujudkan konsep kejiranan.

“Saya cadangkan ahli dalam kejiranan tersebut menggunakan kaedah teknologi untuk berhubung secara maya seperti mewujudkan kumpulan whatsApp mengikut kejiranan. Sekurang-kurangnya kita boleh berinteraksi walaupun tidak secara fizikal.

“Melanjutkan hubungan secara maya itu dengan mengadakan perjumpaan berkala untuk bersembang santai, ‘mengeteh’ dan sebagainya. Insya-Allah, dengan cara ini kita dapat mewujudkan interaksi sosial dan mengelakkan perkara negatif terhadap konsep kejiranan,” katanya.

Kadar interaksi dengan jiran pada setiap hari adalah lebih tinggi di negeri Kelantan iaitu 55.8 peratus, Sabah (54.7 peratus), Terengganu (52.8 peratus), Kedah (52.7 peratus), Sarawak (51 peratus) dan Perlis (50.4 peratus). 

Antara peratusan tertinggi untuk interaksi seminggu sekali dengan jiran adalah di Pulau Pinang iaitu 50.3 peratus, Melaka (47.6 peratus) dan Putrajaya (47.2 peratus). 

Tiga daerah iaitu dua daerah di Sarawak Pakan dan Bukit Mabong serta satu di Sabah iaitu Tongod menonjol sebagai daerah yang paling mesra kerana kadar interaksi dengan jiran pada setiap hari yang tinggi iaitu melebih 95 peratus.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Antropologi dan Sosiologi di Universiti Sains Malaysia(USM), Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil percaya keadaan tersebut biasanya melibatkan warga kota yang tinggal perumahan jenis apartment dan kondominium di bandar-bandar besar.

Bagaimanapun, menurutnya, golongan tersebut tidak boleh ‘dicop’ sebagai sombong.

Sebaliknya, katanya, terdapat banyak faktor perlu diambil kira apabila keadaan seperti ini berlaku antaranya, sibuk bekerja, waktu kerja tidak sama, kurangnya aktiviti persatuan penduduk dan sebagainya.

“Apa yang berlaku adalah mereka tidak berpeluang untuk bertegur sapa dengan jiran disebabkan sibuk bekerja dan apabila pulang ke rumah sudah larut malam. Cuti hujung minggu pula dihabiskan bersama keluarga atau pulang ke kampung halaman.

“Keadaan itu berbeza dengan penduduk kampung, mereka banyak masa untuk berinteraksi dengan jiran seperti di kedai minum, surau atau masjid dan ketika melakukan aktiviti gotong royong,” katanya.

Nur Hafeeza berkata, situasi di mana ramai generasi muda dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk bekerja juga menyumbang kepada statistik tersebut.

“Kebiasaannya, mereka ini banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan bersama rakan sekerja bukannya bersifat individualistik atau sebagainya. Cumanya mereka tidak berpeluang untuk bersembang dengan jiran sahaja,” katanya. -UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya