IPOH: Siasatan membabitkan seorang pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa menjadi mangsa buli di Pangkalan Udara Kuantan April lalu, kini sudah di peringkat akhir.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, kesemua individu yang terlibat dalam kes tersebut akan dipanggil untuk siasatan peringkat akhir oleh pihak polis.
Katanya, tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati dakwaan itu benar.
“Kes ini masih dalam siasatan polis dan kini sudah di peringkat akhir. Bagi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan TUDM khususnya, kita tidak akan berkompromi dengan kes-kes buli.
“Dalam peraturan sedia ada dan undang-undang ATM pun, jika sesiapa melakukan pembulian akan diambil tindakan tegas termasuk diberhentikan.
“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan. Kita perlu melakukan siasatan terperinci sebelum apa-apa tindakan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Siri 66/2023 di Akademi Tentera Udara Ipoh di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan terdapat lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.
Insiden itu terbongkar apabila keluarga salah seorang mangsa membuat laporan polis dan turut memuat naik kes itu di laman sosial ‘Twitter’.
Susulan kejadian itu, lebih 10 individu dipanggil polis memberi keterangan bagi tujuan siasatan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – UTUSAN