KUALA LUMPUR: Penerbit dan pelakon, Sheila Rusly, 51, menyarankan pempengaruh media sosial yang berbakat dalam lakonan agar memanfaatkan kebolehan mereka dengan menjadi pelakon.
Kata Sheila, industri seni amat mengalu-alukan kehadiran bakat-bakat baharu lebih-lebih lagi yang selama ini aktif sebagai pempengaruh di Facebook, Instagram dan TikTok.
“Pada saya, sesiapa sahaja patut diberi peluang. Dan kepada yang dapat peluang, gunakanlah peluang itu dengan sebaiknya sebab ia tak datang selalu.
“Kadang kita sendiri tak tahu bakat yang kita ada sehinggalah kita cuba sesuatu.
“Tak dinafikan, ada juga yang cuba (berlakon), tapi tak menjadi. Maknanya itu bukan bidang dia. Jadi dia kena cari bidang yang sesuai dengan kebolehannya,” katanya ketika ditemui sempena Anugerah TikTok Malaysia yang diadakan baru-baru ini.
Sheila mengulas tentang penglibatan golongan pempengaruh media sosial dalam bidang seni khususnya bidang lakonan.
Dalam pada itu, kongsi Sheila kejayaan adalah bergantung kepada kesesuaian bidang yang diceburi seseorang itu.
“Sebenarnya untuk berjaya kita lebih dahulu kena tahu kebolehan kita. Jadi tonjolkanlah kelebihan kita.
“Kalau berbakat dalam lakonan, cuba. kalau tak menjadi maknanya itu bukan bidang anda,” katanya lagi.