KUALA NERUS: Inovasi set alatan lukisan kejuruteraan dikenali LKiZy oleh guru Sekolah Menengah (SM) Teknik Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan mendapat tumpuan pengunjung yang hadir di Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Keusahawanan dan Kerjaya di sini, sejak Ahad lalu.
Inovasi yang dicipta oleh guru pengajian kejuruteraan mekanikal dan lukisan kejuruteraan sekolah tersebut, Sakinah Muhammad telah membantu memudahkan pelajar dan guru dari segi penggunaan dan penjagaan peralatan lukisan kejuruteraan (LK).
Sakinah berkata, LKiZy ringkasan perkataan LK dan iZy (perkataan mudah bahasa Inggeris – easy) ialah inovasi papan lukisan yang boleh dilipat dan menyediakan ruangan penyimpanan untuk pembaris T, sesiku set, pensil, pemadam dan jangka lukis.
Menurutnya, ciptaan tersebut telah berjaya mendapat geran RM100,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia pada awal tahun ini untuk dikomersilkan dan dijual di koperasi sekolah itu.
“Idea untuk mencipta produk ini adalah kerana beg yang digunakan pelajar sebelum ini bersaiz besar dan agak menyusahkan mereka terutama yang datang ke sekolah dengan menunggang motosikal.
“Melalui set LKiZy ini, saiznya adalah sebesar kertas A4 sahaja, lebih mudah untuk dibawa dan digunakan pelajar,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan karnival tersebut di SM Teknik Terengganu di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan, Zanariah Ahmad.
Sementara itu, Zanariah dalam ucapannya berkata, karnival itu adalah platform terbaik untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran industri yang diperlukan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.
Beliau berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi tahun 2015-2025 telah dilancarkan oleh kerajaan bagi menambah baik dan mentransformasikan sistem pendidikan di negara ini.
“PPPM 2015-2025 itu turut memberi penekanan pendidikan STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan menerusi pelbagai pihak berkepentingan.
“Dalam hal ini, SM Teknik sentiasa komited dan konsisten dalam mendukung agenda KPM untuk membudayakan STEM melalui pelbagai program dan aktiviti telah diadakan.
“Antaranya pertandingan inovasi dan robotik, pertandingan cabaran dron, pameran kerjaya, pameran dan eksplorasi STEM yang diharap dapat mengatasi cabaran proses pendidikan yang sangat dinamik dan sentiasa mengalami proses evolusi dan transformasi,” katanya. – UTUSAN