Sesuaikah Ahmad Said calon PRK Parlimen Kemaman? - Utusan Malaysia

Sesuaikah Ahmad Said calon PRK Parlimen Kemaman?

AHMAD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

NAMA Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kembali disebut-sebut sebagai calon untuk kembali dipertaruhkan sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dalam tempoh terdekat.

Walaupun Ahmad tewas di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu dan Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Kijal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, namun nama beliau dikatakan berada paling atas dalam senarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Parlimen Kemaman nanti.

Keadaan tersebut berlaku apabila UMNO bahagian itu didapati ketandusan pemimpin yang berwibawa untuk dipilih sebagai calon bagi mencabar calon lawan daripada Pas yang bertan­ding atas tiket Perikatan Nasional (PN) yang dijangka mempertahan kerusi tersebut.

Dalam PRU15 lalu, calon PN, Che Alias Hamid memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas mengumpul 65,714 undi menewaskan pencabarnya, calon BN, Ahmad yang mendapat 38,535 undi, calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).

Bagaimanapun UMNO Bahagian Kemaman mempunyai seorang tokoh yang boleh diberi tanggungjawab untuk bertan­ding di PRK Parlimen Kemaman iaitu Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ketokohan Ahmad Shabery tidak boleh dinafikan dan merupakan seorang pemimpin yang boleh ditengahkan sebagai calon BN di Parlimen Kemaman sekiranya PRK tersebut diadakan nanti.

BN mempunyai peluang le­bih cerah untuk merampas semula kerusi tersebut sekiranya menampilkan Ahmad Shabery yang mendapat sokongan ramai dalam kalangan pengundi di kawasan tersebut.

Malah kemenangan BN di kerusi Parlimen itu sangat pen­ting untuk mengukuhkan se­mula Kerajaan Perpaduan selepas hilang majoriti dua per tiga berikutan tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan, baru-baru ini.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Selasa lalu membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya tersebut.

Sogokan itu telah dilakukan dalam beberapa majlis rasmi Kerajaan Terengganu melalui dana bantuan i-Belia, i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi ketika tempoh kempen menjelang PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya