Sesi libat urus Belanjawan 2024 kini di peringkat penilaian - Steven - Utusan Malaysia

Sesi libat urus Belanjawan 2024 kini di peringkat penilaian – Steven

STEVEN Sim (tengah) ketika meninjau program Jualan Rahmah di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BJKIT MERTAJAM: Sesi libat urus bagi mengumpul maklum balas atau input berhubung Belanjawan 2024 kini telah memasuki fasa terakhir sebelum ia dibentangkan di Parlimen, pada 13 Oktober depan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, sejak sesi tersebut dimulakan lebih sebulan yang lalu di pelbagai peringkat, maklum balas yang diterima begitu menggalakkan.

“Kita dapat penyertaan (maklum balas) hampir 8,000 secara bersemuka sama ada di peringkat negeri, sektor dan kementerian manakala maklum balas yang diterima daripada portal Kementerian Kewangan pula lebih kurang 10,000 maklum balas.

“Jadi, semua ini kita akan rumus dan pertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024. Kiranya, sekarang ini kita di peringkat penilaian,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri program Jualan Rahmah Kasih Sayang bagi Parlimen Bukit Mertajam yang diadakan di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen tersebut, di sini hari ini.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah mengarahkan barisan Jemaah Menteri mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2024 itu mengikut kapasiti masing-masing untuk mengetahui apa yang diperlukan di peringkat kementerian bagi pembangunan negara selain untuk menambah baik bantuan kepada rakyat.

Pada masa sama, sesi libat urus bersama kerajaan negeri turut diadakan dengan Melaka menjadi destinasi pertama pada 21 Ogos lalu sebelum ia diteruskan ke negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, selain program Jualan Rahmah dengan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta, program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang berjumlah RM8 bilion juga dianggap sebagai antara langkah jangka pendek yang dilaksanakan kerajaan untuk membantu rakyat.

“Kerajaan juga akan meneliti kedudukan kewangan dan keperluan semasa sama ada untuk meneruskan program jualan seperti ini pada tahun-tahun berikutnya melalui Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan bulan depan.

“Dalam hal ini, kita akan pantau dan tambah baik (program Jualan Rahmah) dari semasa ke semasa. Tunggu Belanjawan 2024 nanti,” ujar beliau.

Sementara itu, kira-kira 1,500 pengunjung membanjiri program Jualan Rahmah kasih Sayang bagi Parlimen Bukit Mertajam yang bermula seawal 8 pagi untuk mendapatkan sehingga 22 barang keperluan harian pada potongan harga antara 10 hingga 30 peratus, hari ini.

Seorang pengunjung, Siti Wahidah Iberim, 32, berkata, dia berharap kerajaan dapat mengadakan program jualan murah seperti itu pada setiap bulan dalam usaha untuk meringankan beban rakyat.

“Kita semua tahu keadaan ekonomi sekarang agak mencabar dengan harga barang yang semakin mahal dan sebagainya. Jadi, apabila ada program jualan murah seperti ini, pasti sedikit sebanyak ia akan melegakan rakyat,” katanya yang datang untuk membeli barang keperluan harian seperti ayam dan beras yang disifatkan jauh lebih murah daripada harga semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya