KEPONG: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) baru-baru ini melancarkan projek kajian Konservasi Geneitk Kelip Kelip Semenanjung Malaysia serta kesedaran Sayang Kelip Kelip
Projek tersebut dijalankan dengan kerjasama syarikat Senheng Electrical KL Sdn. Bhd. menerusi sumbangan projek penyelidikan sejumlah RM225,000 daripada syarikat berkenaan kepada FRIM dalam tempoh tiga tahun.
Projek tersebut ditumpukan kepada spesies kelip-kelip yang mengeluarkan cahaya secara serentak, iaitu Pteroptyx tener yang ditemukan di muara sungai di Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah FRIM, Dr. Ismail Parlan berkata, projek yang diketuai oleh Pegawai Penyelidik Makmal Genetik FRIM Dr Shawn Cheng, itu akan menggunakan teknik genetik untuk menganalisis kepelbagaian dan hubungan antara populasi P. tener yang dijumpai dalam negara.
“Ini membolehkan FRIM dapat membangunkan teknik dan cara baharu dalam pemuliharaan spesies tersebut,” ujarnya pada majlis pelancaran projek berkenaan dan penyerahan replika cek sumbangan oleh Pengerusi Senheng, KH Lim, baru-baru ini.
Sementara itu, Lim menyatakan kebanggaan Senheng untuk bekerjasama dengan FRIM dalam usaha pemuliharaan spesies unik ini.
Beliau berkata, kelip-kelip di Kuala Selangor amat bermakna bagi ahli keluarga beliau kerana rumah keluarganya dahulu sering dikunjungi oleh kelip-kelip pada suatu masa dahulu, dan kenangan tersebut kekal bersama mereka sejak itu.
Justeru Senheng berharap sumbangan mereka kepada FRIM dapat membantu negara dalam usaha pemeliharaan spesies unik ini dan hasil kajian ini juga akan membantu pihak-pihak lain di negara ini.
Selain itu, Senheng dan rakan perniagaannya Laifen, pengeluar produk elektrik premium juga mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran umum tentang pemeliharaan kelip-kelip melalui kempen “Sayang Kelip-Kelip” dengan menggalakkan pelanggan dan ahli-ahli untuk mengitar semula serta mengamalkan konservasi tenaga dan air untuk mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar. Ini kerana kelip-kelip bergantung kepada kualiti air yang baik dan ekosistem yang seimbang.
Senheng juga akan memastikan produk berkualiti tinggi dijual di kedai-kedainya di seluruh negara di samping mempunyai jangka hayat yang panjang dan lebih mesra alam.
Turut hadir, Pengurus Besar SC Alliance (M) Sdn Bhd (Pengedar Tunggal Laifen Malaysia), Kong Chun Chung; Naib Presiden Senheng, rakan perniagaan Senheng, penyelidik FRIM serta rakan kerjasama projek daripada Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dan Universiti Malaya (UM).
Menerusi program Sayang Kelip-Kelip dan sempena Hari Kebangsaan, Senheng dan FRIM juga akan memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari rumah anak yatim di Selangor, bermula dengan Rumah Aman di Sungai Buloh dan Rumah Kebajikan Karunnai Illam di Kepong, untuk melawat Sanctuari Kelip-Kelip di Kuala Selangor.v-UTUSAN
MAJLIS penyerahan replika cek daripada KH Lim (kiri) mewakili Senheng kepada Ismail (kanan) mewakili FRIM di Kepong baru-baru ini