Sempat makan malam sebelum ‘pergi’ - Utusan Malaysia

Sempat makan malam sebelum ‘pergi’

AWANG Hidzel Awang Bujang (dua dari kanan) memantau keadaan lokasi kebakaran membabitkan rumah kedai di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tiga beranak yang rentung dalam kebakaran membabitkan rumah kedai di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda dekat sini awal pagi semalam sempat makan malam bersama ahli keluarga lain.

Anak saudara mangsa, Linda Yee, 48, yang juga seorang aktivis Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani berkata, dia tidak menyangka kebakaran itu meragut nyawa ibu saudaranya, Yong Swee Lan, 92.

Turut terkorban anak perempuan Swee Lan, Lee Chew Fong, 61, serta menantunya, Lim Yang Kooi, 66.

Tiga sekeluarga itu ditemukan dalam keadaan rentung oleh pasukan bomba dan penyelamat di dalam premis perniagaan mereka itu kira-kira pukul 1 pagi.

“Saya rasa tidak sedap hati apabila mengetahui lokasi kebakaran tersebut adalah tempat ahli keluarga saya berniaga,’’ katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kata Linda, ketiga-tiga mang­sa menetap di Taman Bertam, Pulau Pinang selepas membeli rumah di sana sejak setahun lalu dan pulang ke premis itu untuk berniaga pakaian dan kelengkapan lain pada waktu siang.

Namun katanya, mereka ambil keputusan bermalam di premis tersebut kerana mahu mengelak masalah parkir berikutan terdapat pasar pagi di jalan berdekatan lokasi kejadian.

Katanya, semua mangsa sempat menikmati hidangan makan malam bersama anak-anak mereka dan tidak menyangka ia merupakan makan malam terakhir mereka sekeluarga.

“Tak sangka waktu makan malam sebelum kejadian mereka gembira, tiba-tiba sahaja kebakaran ini berlaku dan mereka kini sudah tiada,” katanya.

Tambahnya, rumah kedai tersebut telah berusia lebih 100 tahun dan merupakan kedai warisan mendiang datuknya generasi ke generasi.

“Ibu saudara saya (Swee Lan) merupakan generasi kedua dan kedai tersebut sebelum ini diuruskan oleh anak perempuan dan suaminya sebagai generasi ketiga,” jelasnya.

Sementara itu seorang pemilik kedai, Azizah Jaafar, 70, tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah kedai peninggalan arwah suaminya musnah.

Katanya, rumah kedai itu dibeli arwah suaminya kira-kira 20 tahun lalu dan disewakan kepada peniaga kedai perabot dengan kadar RM400 sebulan.

“Saya sebak apabila melihat harta peninggalan suami yang selama ini menjadi sumber pendapatan bulanan kini telah musnah,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan tiga mangsa rentung dalam kebakaran deretan lapan rumah kedai itu.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, BBP Sungai Petani dan BBP Kuala Muda, Pulau Pinang ke lokasi kebakaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya