Selangor sedia langkah stabilkan bekalan beras - Utusan Malaysia

Selangor sedia langkah stabilkan bekalan beras

Bekalan beras
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor akan melaksanakan langkah intervensi bagi menstabilkan bekalan beras di negeri ini termasuk menumpukan program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) kepada penyelesaian isu tersebut.

Bagaimanapun, tindakan-tindakan sedemikian akan dilakukan selepas mendapat penerangan menyeluruh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai status bekalan beras di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut sudah pun dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

“Itu kita akan laksanakan, malah hari ini pun dalam mesyuarat exco, saya akan memanggil wakil daripada KPDN untuk mengetahui status bekalan beras di Selangor.

“Jadi, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersedia melakukan intervensi dan lima lokasi (jualan beras jenama Ehsan) yang kita buat adalah sebagai langkah awal.

“Kalau kita lihat bekalan kritikal kita akan convert sebahagian JER kita untuk menyelesaikan masalah beras sebagai sebahagian daripada solusi kerajaan negeri untuk membantu menangani masalah bekalan sampai stabil harga beras,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin bekalan beras tempatan akan kembali stabil dalam tempoh sebulan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu walau bagaimanapun berkata, sementara mencapai tempoh itu, pihaknya giat melaksanakan langkah intervensi menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menampung bekalan beras.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri sedang menyusun semula program JER untuk diselaraskan dengan program Jualan Rahmah anjuran Kerajaan Persekutuan yang dalam masa sama turut menumpukan kepada isu bekalan beras.

“Akan diteruskan (JER) tetapi kita akan menyusun semula. Saat kita susun semula sebenarnya kita akan tumpu beras dahulu, sementara JER kita selaras balik dalam masa beberapa bulan dan kita akan teruskan dengan formula baharu.

“Sebab Selangor kita belanja lebih RM20 – RM30 juta yang kita subsidize dan manfaatnya amat besar. Cuma, bagaimana saya sebut daripada awal, ia adalah intervensi, tidak boleh berkekalan, adakah jualan akan turun atau harga telah stabil itu semua kena dapatkan maklumbalas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya