Sejak kecil huni PPS akibat banjir -Penduduk

Sejak kecil huni PPS akibat banjir -Penduduk

NOOR Azman Ghazali (kiri) melawat pasangan suami isteri mangsa banjir bersama bayi mereka berusia tujuh bulan yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Wakil rakyat di sini menawarkan penginapan lebih selesa kepada sepasang suami isteri mangsa banjir yang terpaksa menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) bersama bayi mereka berusia tujuh bulan demi keselesaan bayi tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali berkata, beliau tidak sampai hati melihat bayi lelaki itu, Ayyash Afi Abdul Hafiz berada di PPS itu, lalu menawarkan ibu bapa bayi itu tinggal sementara di rumahnya.

Beliau membuat tawaran itu kerana merasa kasihan terhadap bayi tersebut yang tidak selesa di PPS itu.

“Apabila para petugas di PPS memberitahu terdapat seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan dipindahkan di PPS ini, saya segera berjumpa dengan ibu bapa bay itu dan menawarkan kepada mereka penginapan sementara di rumah saya di pekan Bagan Serai.

“Saya kasihan melihat bayi yang masih kecil ini mungkin merasa tidak selesa di PPS. Apapun keputusan tawaran saya terserah kepada ibu bapa bayi tersebut.

“Saya berpesan kepada ibu bapanya, sekiranya bayi mereka kurang selesa di PPS, segera hubungi saya supaya dapat datang ambil mereka sekeluarga untuk ditempatkan sementara di rumah saya di pekan Bagan Serai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bayi tujuh bulan itu antara 33 orang daripada tujuh buah keluarga ditempatkan di PPS di SK Changkat Lobak selepas rumah mereka di Kampung Matang Tengah di sini dilanda banjir sejak semalam.

Sementara itu, ibu bayi itu, Nurul Syuhada Shahidan, 21, berkata, dia bersama anak dan suaminya, Najmirul Aiman Norazam, 21, terpaksa dipindahkan di PPS itu setelah rumah keluarganya naiki banjir pada pukul 3 petang semalam.

Katanya, kejadian itu yang pertama berlaku tahun ini selepas kami terakhir dilanda banjir pada November tahun lalu.

“Sejak dari kecil hingga sekarang boleh dikatakan setiap tahun saya bersama keluarga akan menjadi penghuni di PPS ini disebabkan banjir namun pada tahun ini saya ditemani suami dan bayi lelaki iaitu anak pertama kami di PPS ini,” katanya.

Menurutnya, dia merasa sedih apabila bayinya masih yang kecil turut menjadi mangsa banjir.

“Saya reda di atas ketentuan ini cuma perasaan keibuan saya sedikit tersentuh mengenangkan nasib anak yang masih kecil terpaksa menanggung keadaan ini,” katanya.

Menurut suaminya, Najmirul Aiman yang bekerja di kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang berkata, ketika banjir dia sedang bercuti.

“Sudah tentu saya bimbangkan keselamatan isteri dan anak saya yang masih bayi dan saya harap banjir segera surut.

“Sekiranya banjir ini berlarutan hingga Ahad, saya terpaksa meninggalkan mereka berdua kerana terpaksa bekerja,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya