Sedia pelan IRBM bagi 23 lembangan sungai seluruh negara - Utusan Malaysia

Sedia pelan IRBM bagi 23 lembangan sungai seluruh negara

HUANG Tiong Sii (tiga dari kanan) melakukan gimik menanam pokok Tecoma sewaktu Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah menyediakan pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi 23 lembangan sungai di negara dalam memastikan sumber air negara dapat diuruskan dengan baik.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, era perubahan iklim pada masa kini telah meningkatkan cabaran khususnya dalam kemampanan tadbir urus air negara.

Beliau berkata, pengurusan sumber air kini bukan sahaja bagi memastikan ketersediaan dan keterjaminannya malah turut berperanan dalam menangani impak perubahan iklim serta pengurangan risiko bencana.

“IRBM ialah subset kepada Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) dan memfokuskan kepada pengurusan di peringkat lembangan dengan mengambil kira semua faktor berkait dengan sumber termasuk aktiviti sosial dan ekonomi,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa.

Mengulas lanjut, Tiong Sii berkata, kajian semula IRBM Sungai Perlis juga telah dimulakan tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

“Pelan-pelan IRBM ini boleh menjadi asas dan rujukan buat kerajaan negeri dalam perancangan jangka panjang selaras dengan objektifnya iaitu memastikan bekalan air adalah bersih serta mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong Sii berkata, bagi menghadapi fasa peralihan monsun dan monsun timur laut di negara ini, semua jabatan di bawah kementerian telah membuat persediaan awal menghadapi bencana banjir.

Katanya, untuk konteks Perlis, sebanyak 36 buah stesen telemetri aras air sungai, 48 buah stesen hujan dan 12 stesen siren amaran banjir telah dipasang di seluruh negeri ini.

“Manakala, model ramalan banjir bagi lembangan sungai di negeri ini juga telah beroperasi dan berupaya memberi ramalan banjir tujuh hari lebih awal serta amaran banjir pula sehingga dua hari lebih awal,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi sebanyak RM11.8 bilion di kawasan berisiko tinggi seluruh negara dan dari jumlah itu, RM57.2 juta diperuntukkan buat negeri Perlis.

“Manakala di bawah Rolling Plan Pertama sehingga Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia-12 (RMK12), JPS Perlis menerima peruntukan sebanyak RM127 juta bagi pelaksanaan tiga projek yang bukan sahaja memfokuskan kepada tebatan banjir malah melibatkan pemulihan empangan dan pemuliharaan sungai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya