WALAUPUN berketurunan Cina dan menganut agama Buddha, ia tidak menghalang pelakon, Daniel Fong Weng Chuan, 30, menggalas watak utama sebagai seorang penganut Islam.
Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, tanggungjawab sebagai seorang pelakon mesti difahami sepenuhnya agar tidak bersikap prejudis dengan sebarang watak yang diberikan.
Katanya, lakonan adalah pentas untuk mempersembahkan karakter tertentu dan bukan cerminan mengenai diri yang sebenar.
“Setiap tawaran pekerjaan saya perlu lakukan yang terbaik tanpa menyimpan sebarang perasaan kurang senang. Lakonan adalah bagaimana saya mempersembahkan karakter dan bukan tentang diri sendiri.
“Sudah tentu saya perlu bersikap profesional dan saya selesa melakonkan watak sebagai seorang Cina yang beragama Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tahun 2023 boleh dikatakan sebagai ‘tuah’ buat jejaka yang pernah menimba ilmu di Australia ini. Deretan drama sudah dibintangi seperti Bintang di TV3 dan Hijrah Jannah di Astro.
Namanya mula menjadi pilihan penerbit produksi sehingga dipilih sebagai pelakon utama dalam drama bersiri Beautiful Love Revenge yang baru memulakan sesi penggambaran beberapa hari lalu.
Pengalaman membesar dan bercampur dengan rakan-rakan berbangsa India dan Melayu membuatkan dirinya lebih bersikap terbuka.
“Drama ini adalah tentang seorang lelaki yang mempunyai perasaan kurang keyakinan diri serta dilanda keresahan melampau (anxiety).
“Saya selesa berlakon dan respek dengan Islam. Ada babak perlu bersalaman seperti orang Melayu lakukan dan bercakap tentang Allah SWT. Ia agak menarik dan mencabar juga,” kongsinya.
Sikap keterbukaan Daniel terserlah apabila Mac lalu, dia pernah menyahut cabaran berpuasa di bulan Ramadan selepas mendapat sokongan moral daripada rakan artis iaitu Dr. Soo Wincci dan Ruhainies.
Jelasnya, tidak salah sekiranya dia mendalami budaya agama lain dan berharap agar masyarakat menghormati kepercayaan yang dianuti oleh pelbagai bangsa.
FAHAMI ERTI MERDEKA
Berkongsi tentang kemerdekaan, jejaka berdarah Cina-Mongolia ini berkata, Hari Kebangsaan yang disambut semalam bukan sekadar cuti biasa, sebaliknya adalah cuti yang sungguh bermakna bagi seluruh penduduk di negara ini.
Oleh itu, katanya, semua bangsa tidak kira Melayu, Cina atau India perlu mempunyai objektif dan matlamat sama dalam memastikan perpaduan antara kaum terus terpelihara.
“Contohnya seperti perlawanan badminton melibatkan Malaysia lawan negara lain. Waktu itu, kita dapat lihat semua kaum boleh duduk semeja dan bersorak di kedai mamak.
“Saya sendiri selepas habis penggambaran banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan Melayu. Sejak zaman belajar pun, memang saya bercampur dengan rakan India dan Melayu serta kami boleh makan semeja. Kita perlu bersikap lebih terbuka dengan budaya lain,” katanya.
Sebagai anak seni, Daniel berkata, dia juga mempunyai rasa tanggungjawab untuk memberi kesedaran tentang kemerdekaan kepada orang ramai melalui platform media sosial.