PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Sarah Liyana menepis dakwaan kononnya dia menghasut mana-mana wanita yang sedang berdepan masalah rumah tangga termasuk dimadukan untuk menuntut cerai.
Puteri Sarah berkata, dia tidak pernah berniat untuk menafikan hukum poligami dan hanya menasihatkan wanita untuk bangkit mempertahankan maruah sekiranya terperangkap dalam perkahwinan penuh toksik.
Ibu tunggal kepada dua orang anak itu juga menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berpoligami sebagai satu kesalahan kerana perkara itu dibenarkan dalam Islam.
“Poligami itu tidak haram dan saya tidak mengharamkan poligami. Nabi Muhammad adalah lelaki tapi tidak semua lelaki boleh jadi seperti Nabi Muhammad.
“Isteri punya hak untuk mendapat nafkah zahir batin dan jika wanita atau isteri tidak diberikan nafkah zahir dan batin, apakah kita wanita perlu menjadi diam dan bodoh?
“Sekali lagi saya tak menghasut sesiapa. Kalau awak rasa menghasut adalah tu kan, faham ke tidak kenyataan saya,” luahnya dalam Instagram.
Tambah pelakon Andai Itu Takdirnya lagi, dia tidak menyalahkan amalan poligami dan hanya mengecam suami tidak menjalankan tanggungjawab mengikut syariat Islam.
“Jika sesuatu perceraian menjadikan kita lebih baik dan dekat kepada agama kenapa itu menjadi tidak boleh?
“Silakan yang nak berpoligami itu tidak salah yang salah adalah lelaki berpoligami tapi tidak memiliki tanggungjawab sesuai syariat agama Islam,” tulisnya lagi.
Terdahulu, perkongsian bekas isteri Syamsul Yusof yang mengulas isu Abang Tesla di InstaStorynya menerima kecaman sehingga segelintir warganet mendakwa kenyataan berkenaan sebagai melampau.