KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berteka-teki berhubung spekulasi rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri memberi bayangan sedang mempertimbang segala kemungkinan berhubung perkara berkenaan.
“Saya fikir dahulu,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai spekulasi rombakan tersebut.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pameran Siang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei di sini.
Desa-desus rombakan Kabinet menjadi polemik selepas jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kosong kerana kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Jika Anwar tidak berhasrat merombak Kabinet, beliau tidak perlu mengambil masa sehingga lebih dua bulan untuk melantik pengganti Salahuddin kerana jawatan itu hanya perlu diisi oleh ahli Parlimen atau pemimpin dari parti Amanah.
Pada masa sama, Anwar turut dikatakan mungkin akan menggugurkan beberapa menteri atau timbalan menteri yang dianggap kurang cemerlang.
Rombakan Kabinet itu semakin bertiup kencang apabila Perdana Menteri dijangka melakukannya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang pada 7 Oktober ini.
Pertukaran lima individu jawatan tertinggi dalam kerajaan secara serentak berkuat kuasa hari ini melibatkan tiga ketua setiausaha bertukar kementerian, seorang ketua setiausaha dilantik sebagai ketua pengarah jabatan manakala seorang lagi dinaikkan pangkat, daripada timbalan kepada ketua setiausaha menguatkan lagi spekulasi itu. – UTUSAN