Sawah ditanam sawit punca padi kurang - Tajuddin - Utusan Malaysia

Sawah ditanam sawit punca padi kurang – Tajuddin

TAJUDDIN Abdul Rahman (tengah) bersama penerima bantuan beras sumbangan NGO Pasir Salak Bangkit di Chenderong Balai, Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan yang menjadi kebimbangan rakyat ketika ini.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pasir Salak Bangkit yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas keadaan ini seperti kegiatan menyorok beras.

“Saya berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan, iaitu kedai-kedai yang menjual beras menyimpan stok beras, begitu juga di peringkat kilang.

“Apabila beras kurang di pasaran, ini menyebabkan harganya naik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Penyerahan Bantuan Beras Anjuran Pasir Salak Bangkit 2023 di sini hari ini.

Menurutnya, selain itu, kekurangan tanah sawah juga menjadi antara punca kekurangan pengeluaran padi negara sehingga menyebabkan beras tempatan sukar didapati di pasaran.

Katanya, kawasan-kawasan yang dahulunya tanah sawah kini ditukar kepada kawasan tanaman kelapa sawit.

Menurutnya, untuk itu Pejabat Tanah perlu membuat pemantauan tanah-tanah sawah ini supaya tidak bertukar kepada kebun kelapa sawit yang akan mengurangkan jumlah tanah yang boleh digunakan untuk tanaman padi.

“Pejabat Tanah kena memantau tanah-tanah sawah ini, jangan bertukar menjadi kebun kelapa sawit, taman perumahan, tapak kilang dan sebagainya. Ini akan mengurangkan jumlah tanah yang boleh diguna untuk tanaman padi,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan beras pada program hari ini, Zaman Adnan, 65, bersyukur dan gembira kerana menerima bantuan beras 10 kilogram (kg) yang dapat meringankan bebannya.

Bapa kepada lapan orang anak ini berkata, bantuan sekampit beras ini membantu meringankan bebannya bagi menampung tiga lagi anak yang masih di bawah tanggungannya.

“Harga beras sekarang ini memang mahal dan dengan beras sekampit ini dapatlah menampung kami lima beranak selama sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya