Sate Kajang bakal jadi makanan warisan Selangor tahun depan

Sate Kajang bakal jadi makanan warisan Selangor tahun depan

SEBAHAGIAN petugas membakar Sate Kajang bersempena dengan acara Fiesta Sate Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan Selangor akan mewartakan Sate Kajang sebagai makanan warisan negeri tersebut pada tahun depan selaras dengan populariti jenama produk berkenaan.

Ia disahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah sebagai usaha mengangkat imej makanan tradisional popular itu.

Malahan kertas cadangan mengenai usaha tersebut ujarnya, telah sedia dipertimbangkan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat) dalam masa terdekat.

“Selepas itu, ia akan dibawa pula kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sebelum diwartakan,” jelasnya yang juga Pengerusi Padat ketika ditemui selepas melancarkan Pra-Pengisytiharan Sate Kajang Sebagai Makanan Warisan Selangor bersempena dengan Fiesta Sate Selangor di Avani Goldcoast Resort di sini.

Mengulas lanjut, Borhan menambah cadangan berkenaan sebenarnya telah lama bermula sejak Konvensyen Identiti Selangor yang dianjurkan Padat sendiri pada 2011.

Sate Kajang merupakan juadah yang amat sinonim dengan bandar Kajang di Daerah Hulu Langat yang diasaskan oleh Tasmin Satiban bersama-sama adiknya, Rono, sejak 1917.

Juadah tradisional warisan setempat itu pada asalnya dijual bergerak tanpa kedai secara berkandar dan dimakan sekali dengan sup sebagai kuah serta nasi kepal atau ketupat.

“Usaha bagi pewartaan Sate Kajang sedang dilaksanakan oleh pihak Padat dan pelbagai kajian meliputi aspek sejarah, latar belakang, cara ramuan dan sebagainya,” jelas Borhan.

Berbeza di tempat lain, Sate Kajang memiliki ciri unik dengan potongan daging yang besar dicucuk hanya tiga ketul dalam satu lidi tebal dan dicicah kuah kacang agak pekat.

Beliau dalam nada optimis menjangkakan sekiranya tiada masalah, makanan berkenaan mampu diwartakan oleh kerajaan Selangor seawal-awalnya suku pertama tahun depan.

Tambahan pula proses tersebut jelasnya, akan dilaksanakan sama berdasarkan kejayaan pengisytiharan nasi ambeng sebagai makanan warisan Selangor pertama tahun lepas. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN