Sasar 30,000 pengunjung hadir Festival Setiu Wetlands  - Utusan Malaysia

Sasar 30,000 pengunjung hadir Festival Setiu Wetlands 

SEBAHAGIAN daripada peserta mencari kepah yang diadakan sempena penganjuran Festival Setiu Wetlands 2023 di Setiu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU : Majlis Pengurusan Taman Negeri (MTPN) Terengganu menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sempena  Festival Setiu Wetlands 2023 di sini yang bermula semalam hingga Ahad ini.

Pengarahnya, Tengku Mohd. Arifin Tengku A. Rahman berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang festival itu berlangsung antaranya sukan rakyat, pesta mencari kepah, pertandingan masakan dan pelayaran.

Menurutnya, lebih 20 jabatan dan agensi kerajaan turut membuka gerai pameran untuk memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai khidmat yang ditawarkan antaranya Jabatan Kesihatan, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Festival ini adalah acara tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2018 bertujuan mendekatkan lagi pengunjung dengan komuniti tempatan melalui pelbagai aktiviti yang diadakan.

“Melalui festival ini, keindahan alam semulajadi di sekitar kawasan Tanah Bencah Setiu dapat diterokai dan dihargai oleh pengunjung agar sama-sama memeliharanya untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tanah Bencah Setiu adalah satu-satunya lokasi di Malaysia yang mempunyai sembilan ekosistem saling berhubung iaitu pesisir pantai, muara sungai, paya bakau, dataran berlumpur, laguna, sungai, kerangas, paya gelam dan tasik berombak air tawar yang menyimpan 1,001 khazanah alam semula jadi.

Pewartaan Tanah Bencah Setiu sebagai Taman Negeri pada 10 Mei 2018 adalah untuk memelihara dan melindungi haiwan, hidupan liar, ikan, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang mempunyai kepentingan dari segi kaji bumi, kaji purba, sejarah dan etnologi serta kepentingan lain dari segi sains dan pemandangan.

Sementara itu, seorang pengunjung, Khadijah Khalid, 39, berkata, dia kali pertama menyertai aktiviti pesta mencari kepah pada festival ini dan dan mahu melakukannya lagi bersama keluarga dan sahabat handai sekiranya berpeluang.

“Saya baru mengetahui proses untuk mendapatkan kepah yang menjadi sumber rezeki utama untuk penduduk di sekitar kawasan Tanah Bencah Setiu, memang agak sukar dan tidak hairanlah harganya agak mahal.

“Aktiviti ini boleh menjadi tarikan pelancongan yang unik di Terengganu terutama untuk peminat alam semulajadi kerana persekitarannya yang masih tidak tercemar dan sangat bagus untuk memberi pendedahan kepada anak kecil untuk mereka menghargai keindahan alam yang ada di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya