KUCHING: Sarawak akan terus memantapkan lagi polisi ekonomi baharu alam sekitar dalam ekonomi sekulir khususnya pengurusan Sisa Buangan-Kepada-Tenaga (WTE), kata Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ujarnya, menerusi polisi ekonomi baharu itu nanti ia mampu memberi hala tuju yang jelas kepada ekonomi baharu yang diterokai, sekali gus memberi manfaat kepada negeri ini.
“Justeru itu, penglibatan pimpinan dan ahli PBB hendaklah mengenalpasti mengenai dengan hala tuju ekonomi baharu ini yang akan memberikan manfaat kepada Sarawak.
“Selain itu, usaha penglibatan ahli PBB ini adalah untuk kita mengekalkan hak negeri dalam undang-undang.
“Contohnya dalam perdagangan karbon, ia adalah aset Sarawak, dan maka itu apa-apa berkaitan faedah ekonomi daripada perdagangan karbon itu mesti memberi manfaat kepada Sarawak dan rakyatnya,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Abang Johari berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Tertinggi PBB Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Petrajaya petang tadi.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan apa sahaja berhubung kain mengenai karbon yang disimpan di perairan Sarawak, ia sudah tentu milik hak negeri ini kerana sudah termaktub dalam undang-undang tanah.
“Antara perkata—perkara yang baharu mengenai karbon, dan sekiranya karbon itu disimpan di perairan Sarawak, itu bermaksud milik hak dibawah undang-undang tanah negeri ini.
“Sebab itu, hendaklah kita, memberi maklumat kepada ahli-ahli PBB di atas dasar baharu ini, dan juga kita akan tumpukan untuk menaik taraf pendapatan masyarakat kita – iaitu pendaptan isi rumah,” tambahnya.
Dalam perkembangan mesyuarat PBB yang dipengerusinya, Abang Johari berkata Konvensyen PBB akan mula diadakan pada 23 September hingga 11 November ini.
“Pada tahun ini, Konvensyen PBB akan diadakan iaitu pada 23 September di Kuching; 8 Oktober di Betong; 29 Oktober di Sibu, dan 11 November di Miri.
“Konvensyen ini adalah satu konvensyen yang akan mempunyai kaitan dengan sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka, dan tema kovensyen ini ialah PBB teras kestabilan, kemajuan dan kemakmuran Sarawak,” katanya. –UTUSAN