KOTA TINGGI: Bunyi bising yang disangka pencuri berjaya menyelamatkan nyawa sepasang suami isteri di Taman Kota Besar di sini dalam kejadian kebakaran berlaku awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong kanan Penguasa Bomba Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata pasangan tersebut juga terpaksa terjun dari tingkat satu kedai untuk menyelamat diri dalam kebakaran tersebut.
Katanya Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor
menerima panggilan kecemasan kebakaran bengkel membaiki kereta itu melalui talian merss999 pada pukul 2.19 pagi.
Menurutnya seramai 17 anggota dari dari BBP Kota Tinggi dibantu balai bantuan BBP Johor Jaya bersama jentera dihantar ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran dua lot kedai struktur kekal dua tingkat berkeluasan 22 x 70
kaki setiap satu dimana kebakaran memusnahkan 95 peratus kedai pertama dan 15 peratus kedai kedua.
“Kejadian itu disedari pemilik bengkel tersebut yang terdengar bunyi bising barang terjatuh dan menyangka ia angkara pencuri. Pasangan itu memang menetap di situ.
“Selepas menyedari kebakaran sedang berlaku pasangan itu terjun dari tingkat satu untuk menyelamatkan diri selepas tidak berjaya membuka pintu sebelum terus menghubungi pihak bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya PKO yang kebetulan telah selesai memadamkan kes kebakaran kereta di Pulada terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati api sudah pun marak.
Jelasnya akibat kebakaran itu, sebanyak empat buah kereta telah terbakar manakala dua buah kenderaan milik pasangan suami isteri itu sempat diselamatkan.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi ditamatkan pada pukul 4.22 pagi,” katanya lagi. –UTUSAN