KUALA NERUS: Rekod tanpa kalah Terengganu FC (TFC) sejak Jun lalu lebur selepas tumpas 0-4 di tangan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Keputusan itu membantu Selangor menebus kecewa tersingkir dari Piala Malaysia kepada lawan sama selain mengukuhkan kedudukan tempat kedua liga manakala TFC kekal di tempat keenam.
Awal permainan menyaksikan TFC menguji kubu lawan melalui sepakan percuma Habib Haroon pada minit ketiga sebelum jaringan Faisal Abdul Halim untuk Selangor minit kelapan dibatalkan kerana ofsaid.
Memasuki minit ke-21, TFC sekali lagi mencemaskan Sam Samorville di pintu gol The Red Giant namun percubaan lencong Nurillo Tukhtasinov dari sebelah kanan ditepis keluar.
Kelekaan benteng tuan rumah dihukum minit ke-26 setelah Jose Orozco yang dibiarkan bergerak bebas melepaskan rembatan padu kaki kiri di depan kotak penalti untuk gol pendahuluan Selangor.
Pemain import Venezuela itu menggandakan jaringan apabila mudah menyempurnakan bola muntah berpunca rembatan Mukhairi Ajmal Mahadi yang gagal ditangkap kemas Rahadiazli Rahalim minit ke-41.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu cuba merapatkan jurang menerusi sepakan jarak jauh Nurillo (m-46) namun mudah ke dakapan Somerville yang sudah menjangkakan gerakan itu.
Faisal kemudian menambah luka bekas kelabnya dengan mudah menolak masuk gol ketiga menewaskan Rahadiazli minit ke-52 hasil gerakan yang bermula dari sebelah kanan.
Pemain gantian Selangor, Aliff Izwan Yuslan melengkapkan kemenangan 4-0 selepas menghukum kegagalan Liridon Krasniqi mengeluarkan bola dari kawasan bahaya TFC minit ke-81.
Kelebihan empat gol tanpa balas itu berjaya dipertahankan Selangor sehingga pengadil, Ahmad Dzuhadi Dzulkifli meniupkan wisel penamat sekaligus mengecewakan lebih 7,000 penyokong TFC.-UTUSAN