Samirah, dua remaja bertanggungjawab atas kematian Nazrin

Samirah, dua remaja bertanggungjawab atas kematian Nazrin – Timbalan Pendakwa Raya

SAMIRAH bersama peguamnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi kes kematian Allahyarham Nazrin Hassan. - UTUSAN/FAIZ ALIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu fakta bahawa Samirah dan dua remaja merupakan individu terakhir dilihat bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan mampu memberikan inferens bahawa mereka yang bertanggungjawab atas kematian lelaki itu.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, tiada sebarang keterangan yang dikemukakan bagi menunjukkan terdapat orang lain berada bersama Nazrin sebelum berlaku kejadian kebakaran yang didakwa meragut nyawa lelaki berkenaan.

“Secara kumulatifnya menjurus ke arah hanya satu inferens dan konklusi sahaja iaitu responden-responden (Samirah dan dua remaja) adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kematian mangsa, tidak ada orang yang lain.

“Berdasarkan kepada fakta bahawa responden-responden adalah ‘last seen person’ dengan mangsa (Nazrin), adalah munasabah untuk dibuat inferens bahawa responden-responden mempunyai peluang untuk membunuh mangsa,” ujar Yusaini.

Beliau berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah, 48, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja yang kini berumur 20 dan 17 tahun selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jun 2022 yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja turut memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja”.

Selain itu, fakta bahawa Allahyarham Nazrin telah meninggal dunia sebelum kejadian kebakaran berlaku tidak dipertikaikan oleh pembelaan.

“Di dalam kes ini, SP46 (Pakar Forensik Patologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Siew Sheue Feng) mendapati Nazrin telah pun mati sebelum kebakaran berlaku kerana ketiadaan jelaga di dalam trakea (saluran pernafasan) mangsa. Mangsa ditemui terbaring di bahagian tepi katil dan kebakaran berlaku di atas katil.

“Keterangan saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP15 juga menyatakan bahawa tiada tanda-tanda bahawa mangsa cuba lari menyelamatkan diri atau bersembunyi dan mangsa memang berada di situ sebelum kebakaran. SP15 turut menyatakan bahawa jika mangsa cuba menyelamatkan diri, kedudukan mangsa akan berada di kawasan yang jauh daripada kebakaran tetapi dalam kes ini, mangsa berada di tempat di mana kebakaran bermula,” ujar Yusaini.

SP15 ialah Pegawai Penyiasat, Bahagian Penyiasatan Kebakaran Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Abdul Halim Zulkefeli.

Tingkah laku kesemua responden juga menunjukkan kaitan dengan kematian Allahyarham Nazrin.

Hujah Yusaini, Samirah telah memberitahu SP18, Dr. Abdul Aziz Che Hassan yang juga abang iparnya bahawa ‘berkemungkinan telefon bimbit meletup dan menyebabkan kebakaran’ pada petang kejadian sedangkan pihak bomba masih belum membuat sebarang ulasan dan mayat masih belum dibedah siasat.

“Bagi responden kedua (remaja berusia 20 tahun), tingkah laku yang boleh dilihat ialah apabila remaja itu keluar dari bilik di tingkat bawah selepas kebakaran dipadamkan. Di dalam keadaan kekecohan kebakaran di bilik di tingkat atas, bagaimana responden kedua masih tidak sedar atau tidak tahu mengenai kejadian tersebut sedangkan pihak bomba mengesahkan bau asap boleh dihidu oleh penghuni di tingkat bawah?

“Selain itu, responden ketiga (remaja berusia 17 tahun) memberitahu SP28 (pemandu mangsa, Muhammad Nabil Faqih Abdul Rahim) ‘Uncle Nazrin mungkin ada orang pukul atau buat macam itu dan sebab dekat belakang ada darah sambil tangan di belakang kepala’.

“Bagaimana responden ketiga tahu tentang belakang kepala mangsa berdarah pada waktu itu melainkan responden ketiga sememangnya tahu dari awal tentang apa yang berlaku kepada mangsa,” kata Yusaini.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah mendakwa tingkah laku sebagaimana yang dinyatakan oleh pendakwaan tidak boleh digunakan sebagai asas untuk menunjukkan kesemua responden bersalah.

Dakwaan bahawa mangsa dan responden kedua serta ketiga tidak mempunyai hubungan yang baik juga adalah samar dan tidak jelas.

“Secara rumusannya, tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa kecederaan yang menyebabkan kematian mangsa adalah disebabkan oleh kesemua responden. Oleh itu, pendakwaan gagal menunjukkan proma facie dalam kes mereka,” kata Muhammad Shafee.

Hujahan di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN