PASIR PUTEH: Hari Kebangsaan yang sudah berlalu masih lagi disambut dalam kalangan penduduk kampung terutama di daerah Semerak dengan pelbagai aktiviti di sini, semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi Kelab Wanita Semerak (Wasni-Ta), Siti Samila Awang Hamat, berkata sambutan seumpamanya diadakan setiap tahun berfokuskan semangat kerjasama, perpaduan dan patriotisme.
Katanya, lebih 1,000 penduduk termasuk murid tadika Kemas Kampung Besar, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sepulau dan Kontinjen Polis Kadet Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku menjayakan perarakan Jalur Gemilang dan persembahan kebudayaan.
“Kami mendapat kerjasama rumah anak yatim Seri Peraksi, sekolah-sekolah berdekatan dan penduduk yang sanggup bergotong-royong membersih padang di kaki Bukit Peraksi selain latihan persembahan di lokasi.
“Pada tahun lalu, sambutan yang seumpamanya berjaya diadakan di puncak bukit yang lebih berfokuskan kepada kesihatan fizikal dan kecerdasan minda,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan peringkat Desa Peraksi di sini hari ini.
Selain perbarisan kibar Jalur Gemilang, persembahan tarian wanita kampung, joget tradisional Melayu dan perarakan basikal berhias pelajar SK Kampung Sepulau serta kawad tarian kadet SMK Cherang Ruku memeriahkan sambutan yang diadalah hanya dalam tempoh tiga jam bermula pukul 9 pagi.
Siti Samilah berkata, peruntukan dan sumber kewangan bukan perkara utama menjayakan sambutan berkenaan kerana ia lebih kepada pengorbanan pihak terlibat sama- sama menyumbang tenaga untuk memeriahkannya.
Katanya, sambutan Hari Kebangsaan peringkat kampung berjaya menjaga ukhwah dan silaturahim sesama penduduk dengan mengabaikan perbezaan fahaman politik.-UTUSAN