PERTAMA kali lakonannya menembusi platform penstriman over the top (OTT) terkemuka Amerika Syarikat, Prime Video, gadis asal Sarawak, Samarinna Tolhip menganggap peluang ini sebagai rezeki terpijak.
Mengakui meminati bidang lakonan sejak kecil, Samarinna, 27, mula menjinakkan diri dalam bidang peragaan sebelum membintangi sebuah sitkom Delivery Girl sebelum ini. Namun begitu, naskhah tersebut hanya ditayangkan di saluran stesen televisyen Sarawak, TVS.
Gadis kacukan Bidayuh dan Kanada itu berharap peluang berlakon menerusi filem Tebus akan memberikan rezeki lakonan yang berbeza untuknya selepas ini.
Memegang karakter seorang protagonis bernama Belladonna, ini kali pertama Samarinna bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Azhan Rani.
“Boleh dikatakan, adegan yang paling mencabar untuk saya lakonkan adalah ketika bersama Azhan Rani. Ada satu babak di mana saya kena masukkan dia di dalam sebuah peti untuk dibakar.
“Adegan itu memang nyata, tidak menggunakan pelakon lagak ngeri. Kerana risau akan terjadi apa-apa kepadanya, saya berlakon sehabis baik agar babak itu tidak perlu diulangi,” katanya baru-baru ini.
Memandangkan filem Tebus terus mendapat reputasi yang baik sejak ditayangkan pada 30 Ogos lalu, Samarinna tidak menolak sekiranya bakatnya mula mendapat perhatian daripada penonton.
Namun begitu, sudah menjadi asam garam industri seni, setiap inci kehidupan peribadi selebriti turut akan diperhati.
“Ada kelebihan dan kekurangan sekiranya kita menjadi sorotan ramai orang. Apa yang seronok, sudah tentu kita semakin dapat banyak tawaran dan lebih ramai yang mengenali diri kita.
“Namun begitu, sudah pasti akan ada juga segelintir yang tidak menyenangi kehadiran kita. Saya terima sahajalah, itu perkara biasa. Saya sudah bersedia,” ceritanya.
Bercerita mengenai impiannya selepas ini, gadis itu tersenyum. Targetnya nyata dan jelas iaitu mahu berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Saya mahu keluar daripada zon selesa dan tidak hanya berkarya untuk masyarakat di sini sahaja. Saya ingin kembangkan bakat ke Semenanjung.
“Sekiranya tawaran banyak di Kuala Lumpur, saya tidak kisah untuk berhijrah.
“Semoga di masa akan datang, saya boleh diberi peluang untuk melakonkan drama genre berbeza di samping bergandingan dengan Tan Sri Michelle Yeoh,” tambahnya.