PETALING JAYA: “Yang salah tetap salah dan pintu taubat sentiasa terbuka untuk kembali ke jalan-Nya.”
Demikian kenyataan pelakon, Norman Hakim berhubung kontroversi melibatkan anaknya, Marissa Dania yang didakwa menjadi punca keruntuhan rumah tangga seorang wanita.
Norman juga berterima kasih kepada setiap pihak yang prihatin kepada dia dan keluarga malah mereka telah menyelesaikan masalah berhubung isu sensasi itu secara tertutup.
“Terima kasih kepada yang prihatin atas ujian buat saya dan keluarga baru-baru ini. Insya-Allah gerak hati dari-Nya untuk kami selesaikan secara tertutup.
“Kami ambil iktibar atas segala khilaf yang berlaku. Mohon doakan yang baik-baik. Saya anggap kalian semua sahabat ukhwah,” ujarnya menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Norman berkata, kontroversi tersebut dianggap sebagai satu ujian buat dia dan keluarga serta komen-komen yang mungkin mencalar hati juga merupakan satu ‘teguran’ buat mereka.
“Saya gembira baca komen semua. Mungkin ada yang berbaur emosi dan kebencian saya anggap itu semua sebagai teguran baik untuk saya dan keluarga perbaiki kelemahan serta khilaf kami.
“Ampun maaf kalau ada khilaf, salah dan silap dari saya seisi keluarga. Yang salah tetap salah dan pintu taubat sentiasa terbuka untuk kembali ke jalan-Nya.
“Segala kelemahan datang dari kami dan segala yang baik hanya dari-Nya,”ujarnya.