RUU tangungjawab Fiskal dibentang bulan depan - PM

RUU tangungjawab Fiskal dibentang bulan depan – PM

ANWAR Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) di Putrajaya. - GAMBAR IHSAN KEMENTERIAN KEWANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk menyegerakan pembentangan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) di Parlimen pada bulan depan bagi menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, FRA mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.

Menurut beliau, akta ini juga akan menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus wang awam.

“Kerajaan pada masa sama akan meneruskan usaha bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran.

“Dalam hal ini, langkah konsolidasi fiskal akan terus dilaksanakan secara berperingkat bagi membina semula ruang fiskal disamping mengurangkan paras hutang dan liabiliti kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) dipengerusikan Anwar bagi meneliti perkembangan ekonomi negara dan kedudukan fiskal kerajaan terkini serta unjuran fiskal jangka sederhana sebagai persediaan Belanjawan 2024.

Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka strategi dan menetapkan hala tuju serta menambah baik tatakelola pengurusan kewangan awam bagi memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan jangka sederhana dan panjang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan, dalam melaksanakan reformasi fiskal, adalah penting untuk mengimbangi keperluan pengembangan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

Jelasnya, walaupun kita terpaksa melakukan reformasi yang mungkin memedihkan untuk memperluas hasil negara dan menutup ketirisan daripada subsidi pukal, kerajaan juga perlu cakna akan tantangan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global tidak menentu.

“Pendirian saya tidak pernah berganjak dalam memastikan reformasi fiskal ini tidak sama sekali membebankan rakyat yang memerlukan, malah reformasi fiskal ini masih perlu mengambil kira perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi dan pelaburan.

“Maka, jujukan dan skop reformasi fiskal mesti dipertimbangkan agar ia tidak membawa kejutan yang drastik kepada ekonomi mahupun rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Anwar, dengan jangkaan kelembapan ekonomi dan perdagangan global, Malaysia juga akan turut terkesan dengan pertumbuhan ekonomi negara dijangka menyederhana, namun masih sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus untuk tahun ini.

Katanya, pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong oleh permintaan dalam negeri, seperti yang dicatatkan oleh pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2 peratus.

“Kerajaan akan terus merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi memastikan serta mempercepat pelaksanaan semua langkah yang digariskan di bawah Belanjawan 2023 serta rangka kerja Ekonomi Madani,” katanya.

Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, Anwar berkata, cabaran luaran yang semakin meningkat akan menimbulkan pelbagai risiko kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Pertumbuhan yang tidak sekata merentasi wilayah seperti Amerika Syarikat dan China, ketidaktentuan pasaran kewangan berikutan dasar monetari yang ketat, ketegangan geopolitik yang berlarutan serta perubahan iklim yang tidak menentu merupakan antara cabaran terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Jawatankuasa meneliti unjuran pertumbuhan KDNK, kedudukan fiskal kerajaan, dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024.

“Jawatankuasa berpendapat bahawa terdapat ruang untuk terus menambah baik strategi, tatakelola, dan kecekapan dalam pengurusan kewangan negara termasuk merangka strategi dan inisiatif bagi memantapkan lagi pengurusan hasil negara untuk memastikan kemampanan penjanaan hasil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya