RUU Sumber Air 2023 pastikan pengurusan air di Perak terkawal - Utusan Malaysia

RUU Sumber Air 2023 pastikan pengurusan air di Perak terkawal

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (tengah) melawat pameran pada Sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 Peringkat Negeri Perak dan Pelancaran Sahabat Lembangan Sungai Kinta di Tanjung Rambutan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak esok bertujuan mewujudkan satu lembaga atau jawatankuasa bagi memastikan pengurusan air mentah negeri ini lebih terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang akan membentang RUU itu pada hari pertama persidangan DUN esok berkata, RUU itu bagi menggantikan akta lama pengurusan air mentah negeri iaitu Akta 418, yang sudah berusia 100 tahun.

Menurutnya, di bawah akta lama itu, pengurusan air mentah negeri ini diserahkan bulat bulat kepada pentadbir tanah untuk menguruskannya, sedangkan pentadbir tanah tidak ada masa untuk menguruskan sumber air.

Kata beliau, audit negeri telah melakukan semakan dan mendapati sebenarnya tidak ada satu pun badan yang menguruskan sumber air mentah di negeri ini.

“Jadi kita berusaha mewujudkan satu kawalan supaya sumber air di Perak lebih terjamin menerusi penubuhan satu lembaga atau jawatankuasa pengurusan sumber air mentah, mereka ini terdiri daripada pengarah dan pakar pakar yang akan memantau penggunaan air mentah.

“Ia merangkumi pengurusan sumber mentah di sungai, kolam, lombong, tasik dan air laut. Kalau RUU itu diluluskan, ia akan mencerminkan satu tanggungjawab kerajaan dalam memastikan sumber air di Perak terkawal.

“Begitupun, jawatankuasa atau lembaga itu nanti akan menguruskan sumber air mentah sahaja, tidak termasuk air terawat kerana air terawat diuruskan oleh LAP (Lembaga Air Perak),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 Peringkat Negeri Perak dan Pelancaran Sahabat Lembangan Sungai Kinta di Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Sebelum ini, Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2022 yang dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ditangguhkan kelulusannya ke satu masa yang akan ditetapkan.

RUU dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu bertujuan memastikan aspek pelesenan dan penguatkuasaan yang membabitkan sumber air negeri dapat dipantau selain pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air melalui penubuhan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya