Runtuhan kuari: Maut ketika berpatah balik ambil barang - Utusan Malaysia

Runtuhan kuari: Maut ketika berpatah balik ambil barang

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa tertimbus di bawah runtuhan batu dengan bantuan jentera pengorek pihak kuari di Simpang Pulai, Ipoh. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan lelaki warga Pakistan berpatah balik untuk mengambil barang meskipun menyedari berlaku runtuhan kecil, mengundang padah apabila maut ditimpa batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan dua rakan sekerjanya sedang menjalankan kerja-kerja mengalihkan batu.

Katanya, kawasan kejadian merupakan tapak kuari yang telah lama ditinggalkan di mana tiada kerja-kerja letupan dijalankan.

“Semasa kejadian, mangsa dikenali Sohail Sajjad, 36, dan dua lelaki lain sedang menggunakan jentera pengorek (excavator) untuk mengalihkan batu.

“Berlaku runtuhan kecil dan kesemua mereka telah diarahkan meninggalkan kawasan tersebut, namun mangsa berpatah balik kerana dikatakan mahu mengambil barang yang tertinggal.

“Dalam cubaan mangsa mengambil barang, runtuhan berlaku dan mangsa cuba berlindung di bawah excavator untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 10.56 pagi dengan sepasukan anggota BBP Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya anggota di lokasi, didapati keadaan pada masa itu tidak selamat ekoran masih berlaku runtuhan kecil.

“Setelah keadaan stabil barulah anggota turun ke lokasi dan mendapati mangsa berada di bawah excavator dengan runtuhan batu di atas jentera berkenaan.

“Jadi, kita minta bantuan pihak kuari untuk menggunakan excavator lain bagi mengalihkan batu-batu yang berada di atas jentera yang menghempap mangsa.

“Bagaimanapun, proses mengeluarkan lelaki itu tergendala berikutan keadaan di lokasi kejadian kembali tidak stabil selain tangan mangsa tersekat pada batu,” katanya.

Tambah beliau, dua anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) bersama lima anggota BBP Simpang Pulai kemudiannya menjalankan kerja-kerja mengorek dan memecahkan batu menimpa tangan mangsa secara manual.

“Mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi runtuhan pada pukul 2.36 petang. Mayat mangsa dibawa keluar menggunakan trak polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.

Difahamkan, lokasi kejadian itu terletak kira-kira tiga kilometer (KM) dari lokasi runtuhan batu kuari pada 8 Mac 2022 yang mengorbankan dua pekerja kuari, Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa berusia 35 tahun mengalami patah tulang kaki manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Itam dan Loo Siew Soon digerakkan dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat namun gagal mengesan kedudukan tepat mereka yang tertimbus bersama dua jengkaut.

Bagaimanapun, pencarian selama enam bulan itu berakhir pada 20 September 2022 berikutan penemuan cebisan rangka tulang dipercayai milik kedua-dua mangsa dan dua bangkai jengkaut.

Kesemua penemuan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tujuan bedah siasat dan ujian DNA bagi pengesahan identiti mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya