Rumah tradisional Sarawak perlu dikekalkan sebagai produk

Rumah tradisional Sarawak perlu dikekalkan sebagai produk pelancongan

ROSLAN (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Adun Opar, Billy Sujang (dua dari kiri) selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) Festival Bung Bratak 2023 di Pusat Warisan Bung Bratak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAU: Produk pelancongan yang berkonsepkan rumah tradisi perlu dikekalkan sebagai salah satu produk pelancongan yang ada di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing mendedahkan, kutipan hasil daripada tempat penginapan pelancongan yang berkonsepkan rumah panjang mencatatkan penambahan progresif pada setiap tahun.

USAHAWAN tempatan mengambil peluang menjual manik tradisional Bidayuh di Festival Bung Bratak.

“Dari bulan Januari hingga Jun tahun 2023, hasil pendapatan dari pengunjung domestik dan asing adalah sebanyak RM 35,455.00. Jumlah ini diperoleh melalui kutipan yuran masuk dan penginapan di Pusat Warisan Bung Bratak. 

“Dalam tempoh sama, jumlah kedatangan pelancong ke Pusat Warisan Bung Bratak ini juga mencatatkan seramai 3,334 orang pengunjung domestik dan seramai 90 orang pengunjung asing,” katanya dalam ucapannya di Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) Festival Bung Bratak 2023, di Pusat Warisan Bung Bratak, Bau hari ini.

Dalam ucapan King Sing yang dibaca oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Roslan Abdul Rahman, beliau turut menjelaskan tujuan program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) dilaksanakan bagi menjadikan Bung Bratak sebagai salah satu produk pelancongan dengan memperkenalkan kesenian dan kebudayaan masyarakat Bidayuh serta kampung-kampung berhampiran. 

“Pusat Warisan Bung Bratak merupakan kampung asal bagi masyarakat Bidayuh yang berada di Daerah Bau, Sarawak. 

“Kedudukannya di atas bukit bersesuaian dengan keadaan masyarakat Bidayuh itu sendiri yang menjadikan kawasan tinggi sebagai tempat tinggal,” ujarnya. 

Pada masa yang sama, beliau berkata, seni kraf di daerah Bau juga terkenal dengan hasil buatan kayu, buluh, rotan, manik dan daun serdang berjaya menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa. 

“Seramai 24 orang usahawan di Bau bergiat aktif dalam industri kraf dan berjaya menjana pendapatan lebih RM500,000 pada tahun 2022. 

“Justeru, MOTAC menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara juga meluluskan Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan (JPBK) menerusi Insentif Seni Kewangan kepada enam persatuan seni budaya di Sarawak di mana pemberian bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM 47,250.00 bagi tahun 2023. 

“Melalui pemberian Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada pemain-pemain Industri Seni Budaya, sebanyak 21 persatuan di negeri ini menerima pemberian geran tersebut dengan jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM 1,480,000,” tambahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya