Rumah Perakku mampu milik, selesa dan berkualiti

Rumah Perakku mampu milik, selesa dan berkualiti

NURUL Indah Ibrahim (kiri) bersama anak-anak dan ibunya pada majlis penyerahan kunci projek Rumah Perakku Taman Serdang, Sitiawan di Lumut. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Projek Rumah Perakku yang dilaksanakan kerajaan negeri memudahkan rakyat memiliki rumah selain menawarkan rumah berkualiti tinggi pada harga yang lebih rendah berbanding pemaju persendirian.

Seorang pembeli projek Rumah Perakku Taman Serdang, Sitiawan di sini, Nurul Indah Ibrahim, 40, mengakui unit Rumah Perakku berkualiti selain kemasan dalaman rumah kos sederhana yang dibelinya begitu selesa.

Dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air serta kemasan dalaman terutama di bahagian dapur, Nurul Indah amat berpuas hati dengan kualiti rumah yang dibina di bawah program tersebut.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang amat prihatin dalam memenuhi keperluan perumahan untuk rakyat apabila melaksanakan projek Rumah Pe­rakku ini.

“Menerusi projek ini, golongan B40 turut berpeluang memiliki ru­mah apabila ru­mah yang ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding yang dimajukan pihak swasta.

“Saya amat berpuas hati de­ngan kualiti binaan rumah ini yang bukan sahaja cantik tetapi kemasan dalamannya yang begitu menarik, di mana lagi nak dapat harga rumah yang serendah, berkualiti dan secantik ini,” katanya.

Nurul Indah yang mengusahakan perniagaan salon di Lumut berkata, memiliki rumah sendiri menjadi impian dia bersama tiga anak perempuannya yang masing-masing berusia 13, 11 dan tujuh tahun, selain menjaga ibunya, Maznah Harun, 74. Ketika ini, mereka menumpang tinggal di rumah saudara.

Menurutnya, sebaik sahaja pinjaman pembelian projek Rumah Pe­rakku diluluskan pihak bank, anak-anaknya gembira kerana akhirnya memiliki rumah sendiri.

“Memiliki rumah sendiri tidak hanya memberi keselesaan kepada kami sekeluarga tetapi anak-anak amat gembira, mereka bersyukur, juga memberikan mereka semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Saya rasa lebih selamat untuk memberikan perlindungan kepada anak-anak apatah lagi mereka semakin membesar. Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sangat prihatin dalam menjaga kebajikan rakyat memiliki rumah,” katanya.

Projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang di sini merupakan projek keempat berjaya disiapkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) tahun ini melibatkan 100 unit kediaman kos rendah dan 347 unit kediaman mampu milik teres setingkat berharga antara RM70,000 hingga RM168,000.

Pembangunan di kawasan seluas 29 ekar dengan kos berjumlah RM55.3 juta itu berjaya disiapkan dalam tempoh 26 bulan, menunjukkan kesungguhan LPHP dan pemaju dalam pelaksanaan projek perumahan terbabit.

Program Rumah Perakku antara inisiatif kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Moha­mad untuk rakyat golongan B40 memiliki rumah di bawah pelan Perak Sejahtera 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya