GEORGE TOWN: Seramai 115 pembeli rumah di Taman Halaman Indah, Sungai Bakap dekat sini, merayu campur tangan pihak berwajib menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka yang perlu membayar sebanyak RM21,000 kepada sebuah syarikat atau bakal kehilangan rumah mereka.
Dakwa penduduk berkenaan, mereka menjadi mangsa selepas rumah yang dibeli kira-kira 13 tahun lalu daripada pemaju yang kini sudah muflis itu `digadai’ tanpa pengetahuan mereka kepada beberapa pihak lain sejak 2019.
Lebih malang, dakwa mereka, terdapat tiga buah rumah penduduk yang sudah ditukar nama kepada pihak lain tanpa pengetahuan pemilik hanya disebabkan isu hutang yang ditanggung oleh pihak pemaju dengan pihak lain.
Salah seorang pemilik rumah, Habibur Rahman Seeni Mohamed, 39, berkata, mereka mula mendapat surat arahan untuk membayar sebanyak RM21,000 kepada sebuah syarikat itu pada Ogos lalu dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh dua bulan.
Jelasnya, bayaran kepada syarikat itu bagi membolehkan mereka mendapatkan geran rumah berkenaan dan sekiranya gagal berbuat demikian, rumah mereka akan dilelong menjelang hujung tahun ini.
“Saya terkejut memandangkan saya sudah membayar sepenuhnya harga rumah ini kepada pemaju asal iaitu RM69,000 yang saya beli pada 2011.
“Tetapi kini saya perlu membayar pula RM21,000 kepada syarikat lain untuk mendapatkan geran rumah dalam tempoh hanya beberapa bulan yang jelas satu penganiayaan terhadap kami,” katanya.
Habibur Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hak Milik Taman Halaman Indah ditemui pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman bersama lebih 50 penduduk terlibat bagi mendesak campur tangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyelesaikan masalah mereka di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Terdahulu, kumpulan penduduk berkenaan turut menyerahkan memorandum berkenaan isu itu untuk pengetahuan kerajaan negeri yang diterima Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Lai Hon Meng.
Menurut Habibur Rahman, kumpulan penduduk itu juga sudah membuat laporan polis berhubung isu terbabit, namun perkara tersebut di luar bidang kuasa pihak berkuasa berkenaan menyebabkan mereka kini buntu untuk mengadu nasib.
Lebih malang, ujar beliau, semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mendapati kesemua rumah milik penduduk terlibat kini sudah digadai kepada sekurang-kurangnya sembilan pihak yang lain.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Shaherizah Mohamad Saarah, 47, berkata, dia kini bimbang kehilangan rumah yang dibelinya pada 2010 tersebut memandangkan tidak mampu membayar sebanyak RM21,000 seperti diarahkan.
“Saya hanya bekerja kilang dan nilai RM21,000 adalah terlalu besar untuk saya lunaskan apatah lagi dalam tempoh hanya beberapa bulan sebelum hujung tahun ini.
“Sementelah, saya juga terkilan kerana jelas menjadi mangsa dalam isu ini sedangkan saya sudah pun menyelesaikan sepenuhnya bayaran rumah sebelum ini, jadi mengapa kini perlu membayar lagi dan berdepan risiko kehilangan rumah?” katanya. – UTUSAN