Restoran Hameediyah edar nasi kandar percuma sempena Hari Malaysia - Utusan Malaysia

Restoran Hameediyah edar nasi kandar percuma sempena Hari Malaysia

KAKITANGAN Restoran nasi kandar tertua negara, Restoran Hameediyah ketika mengedarkan 100 bungkus nasi kandar percuma di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena Hari Malaysia baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Restoran nasi kandar tertua negara, Restoran Hameediyah, baru-baru ini mengedarkan 100 bungkus nasi kandar percuma di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena Hari Malaysia.

Tambah menarik, pekerja-pekerja restoran berkenaan mengedarkan bungkusan makanan itu dengan cara tradisional iaitu secara mengandar di atas bahu sama seperti cara makanan itu dijual sekitar tahun 1960-an dahulu.

Pengurus Restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, pihaknya mengambil insiatif sempena Hari Malaysia untuk mengedarkan makanan kepada orang ramai yang berada di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

KAKITANGAN Restoran nasi kandar tertua negara, Restoran Hameediyah ketika mengedarkan 100 bungkus nasi kandar percuma di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur sempena Hari Malaysia baru-baru ini.

“Tahun lalu, kami mengambil pendekatan yang sama untuk menyemarakkan Hari Malaysia dengan mengedarkan nasi kandar percuma di Pulau Pinang.

”Tetapi tahun ini, kami memilih untuk mengedarkannya di Bukit Bintang bagi memperkenalkan budaya nasi kandar Pulau Pinang di Kuala Lumpur pula,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, inisiatif yang diambil oleh pekerja-pekerja restoran yang membawa periuk nasi kandar di dalam bakul rotan serta digalas dengan batang kayu itu sekali gus dapat membangkitkan nostalgia kepada orang ramai.

”Nasi kandar bukan sahaja popular di Pulau Pinang, malah ia menjadi satu budaya makanan di negara ini.

”Orang ramai di Kuala Lumpur tertarik melihat cara nasi kandar dibawa dengan cara original penjual nasi kandar di Pulau Pinang satu masa dulu,” katanya.

Tambahnya, selain membangkitkan nostalgia lama jualan nasi kandar, inisiatif yang diambil Restoran Hameediyah itu juga dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia tahun ini.

”Hari Malaysia merupakan satu hari penyatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini, jadi kami ambil peluang untuk meriahkan lagi sambutan ini.

“Selain itu, kami juga dapat perkenalkan jenama Restoran Hameediyah di luar Pulau Pinang agar masyarakat tahu outlet kami juga berada di Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya