BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki lemas dalam parit di Jalan Ladang Genting Estate, Ladang Seri Gading di sini petang semalam.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.24 petang.
Susulan itu, katanya, 14 anggota dibantu dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mangsa, Mohamad Abdullah,18, lemas di kawasan parit berkedalaman kira-kira tiga meter.
“Tindakan operasi membuat pencarian secara ‘surface searching’ menemukan mangsa pada jarak tiga meter dari tebing parit kira-kira 7.20 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamaddin Mohd Tahir, 47, berkata, anak tirinya itu bersama enam orang rakan datang ke tali air di ladang itu untuk mandi.
Katanya, ketika sedang mandi secara tiba-tiba dia terkapai-kapai seperti dalam keadaan lemas serta cuba minta tolong dengan rakannya, namun, disangka satu gurauan.
“Selepas mendapati Mohammad tidak timbul, baru menyedari kejadian itu benar-benar berlaku dan minta bantuan penduduk di Kampung Rahmat mendapatkan pasukan Bomba dan Penyelamat bagi kerja-kerja menyelamat.
“Penduduk juga berusaha menggunakan jala untuk mencari mangsa namun gagal,” Katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.-UTUSAN