Remaja lelaki 17 tahun didakwa bunuh rakan sekampung - Utusan Malaysia

Remaja lelaki 17 tahun didakwa bunuh rakan sekampung

REMAJA lelaki 17 tahun didakwa Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas tuduhan membunuh rakannya dua minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya di Rungkup, Bagan Datuk, dua minggu lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dalam bahasa Tamil dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin yang bertindak sebagai majistret.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang tidak bersekolah itu didakwa membunuh P. Hariaran, 21, di tepi jalan pasir di Kampung Sungai Payung Baroh, Selekoh dalam daerah Bagan Datuk antara pukul 6 petang hingga 8.30 malam, 20 Ogos 2023.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili peguam, Charanjit Singh.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia, patalogi dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Menerusi laporan media pada 24 Ogos lalu, mayat seorang lelaki dengan kesan luka di bahagian tangan, kaki dan leher itu ditemukan dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Payung Baroh, Rungkup di Bagan Datuk.

Identiti mangsa bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti ekoran keadaannya yang sudah reput selain tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama si mati.

Hasil bedah siasat di Jabatan Forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mendapati punca kematian mangsa disebabkan oleh luka potongan pada bahagian kepala dan leher.

Susulan penemuan mayat tersebut, tangkapan dilakukan terhadap seorang lelaki yang juga rakan mangsa di Hutan Melintang empat hari selepas mayatnya dijumpai.

Berdasarkan siasatan, suspek mengaku melakukan pembunuhan tersebut dan motif kejadian dipercayai ekoran cemburu kerana mangsa mengganggu teman wanitanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN