Rasuah: 11 individu termasuk 9 penguat kuasa ditahan SPRM

Rasuah: 11 individu termasuk 9 penguat kuasa ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 11 individu termasuk sembilan anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Difahamkan, kesemua suspek berusia antara 30-an hingga 50-an  itu ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar, Kedah.

Sumber berkata, dua orang awam yang ditahan dipercayai memberi rasuah sebanyak kira-kira RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa terbabit yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.

“Kesemua anggota penguat kuasa terbabit dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2018 hingga 2021 dan mereka ditahan kerana menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

“Dua orang awam pula ditahan atas kesalahan memberikan wang rasuah kepada anggota penguat kuasa terbabit,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, seramai lima suspek yang juga anggota penguat kuasa dibawa untuk permohonan reman di mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah pukul 8 pagi esok manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya