PETALING JAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) mengingatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa negara tidak akan mencapai kemerdekaan atau menubuhkan Malaysia tanpa sokongan ‘parti pendatang’.
Pengerusi Mitra, Datuk R. Ramanan berkata, amat mengecewakan apabila Dr. Mahathir memilih untuk terus memperkatakan tentang kaum, agama dan raja (3R).
Timbalan Ketua Penerangan PKR itu berkata, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mungkin tidak kisah meninggalkan legasi beliau, tetapi harus bertanggungjawab memastikan Malaysia terus bersatu.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu bagaimanapun tidak menolak tindakan Dr. Mahathir itu yang menimbulkan perpecahan dan kebencian merupakan cara untuk terus relevan di mata orang ramai.
“(Namun), negara ini diasaskan kerana pemimpin semua kaum utama secara kolektif bekerjasama untuk kepentingan negara dengan menandatangani perjanjian.
“Kita tidak akan mencapai kemerdekaan atau penubuhan Malaysia tanpa sokongan yang dipanggil ‘parti pendatang’.
“MCA dan MIC, bersama UMNO, yang menandatangani semua dokumen bersejarah ini. Semua kaum bekerjasama untuk membina Malaysia termasuk dari Sarawak dan Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram semalam dilapor telah menggelar parti politik yang dipimpin oleh bukan Melayu sebagai ‘parti pendatang’.
Menurut beliau, isu perkauman di Malaysia sebahagiannya berpunca daripada orang bukan Melayu yang tidak mahu mengasimilasikan budaya Melayu dan mewujudkan parti politik mereka sendiri.
Mengulas lanjut, Ramanan meminta semua untuk henti menggunakan isu ‘pendatang’ dalam semua ceramah pilihan raya.
Katanya, ini kerana negara sudah pun berusia 66 tahun serta Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan Malaysia terbentuk kerana sokongan semua kaum.
“Saya maafkan Dr. Mahathir kerana pelupa sebab beliau sudah berusia 98 tahun. Harapnya Dr. Mahathir masih ingat bapanya berasal dari Kerala, India, yang secara logiknya bermakna beliau juga seorang ‘pendatang’,” katanya. – UTUSAN