Pusat penyelidikan dicadang dibina di Lenggong Geopark - Utusan Malaysia

Pusat penyelidikan dicadang dibina di Lenggong Geopark

SHAMSUL Anuar Nasarah (dua dari kiri) melawat pameran pada Seminar Lenggong Geopark 2023 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah pusat penyelidikan dicadang dibangunkan di Lenggong Geopark di Lembah Lenggong bagi membolehkan kajian ilmiah dilakukan penyelidik di tapak warisan dunia itu.

Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kewujudan pusat penyelidikan itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada Lenggong Geopark malah membantu dari segi pelancongan berasaskan pendidikan atau edu-tourism.

Katanya, kertas cadangan berkaitan pembinaan pusat penyelidikan itu akan dimajukan kepada kerajaan negeri untuk penelitian.

“Kita berhasrat untuk mewujudkan pusat penyelidikan Lenggong Geopark ini agar kajian-kajian yang telah dijalankan dapat didokumentasi dan dipaparkan kepada masyarakat.

“Di samping kita bangunkan komuniti setempat dengan aktiviti kraftangan dan industri kecil dan sederhana (IKS), kita juga menggalakkan pelancong datang ke Lembah Lenggong dan jadikan ia sebagai pusat kajian dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan program Seminar Lenggong Geopark 2023 yang dihadiri Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Ahmad Zukni Ahmad Khalil di sini hari ini.

Menurut Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong, kepelbagaian flora dan fauna yang berada di Lembah Lenggong menjadikan ia sebagai lokasi menarik untuk kajian ilmiah oleh penyelidik tempatan mahupun luar negara.

Malah katanya, di Lembah Lenggong juga terdapat habitat bagi spesies harimau belang dikenali Harimau Malaya yang berdepan ancaman kepupusan.

“Kalau mahu lihat Harimau Malaya, di sinilah habitatnya di Lenggong Geopark. Flora dan fauna juga banyak di sini, jadi pusat penyelidikan seperti ini wajar dibina.

“Jika ini boleh dilaksanakan, ia umpama ‘open university’ untuk semua, pelajar dari dalam dan luar negara boleh datang ke sini membuat kajian lapangan.

“Sebelum ini kita ada terima pelajar dari Australia dan New Zealand yang datang membuat kajian tentang tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya