SEREMBAN: Seramai 92 orang warganegara Myanmar ditahan dalam serbuan pasukan polis kontinjen Negeri Sembilan dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga buah premis yang dijadikan pusat hiburan haram di Taman Semarak, Nilai, di sini semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, premis berkenaan telah diserbu kira-kira pukul 10.30 malam tadi hasil aduan orang awam.
“Hasil serbuan, kami menahan 92 warga Myanmar terdiri daripada 65 lelaki dan bakinya wanita. Hasil dokumentasi, seramai 39 daripada mereka didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen dan diserahkan kepada JIM manakala selebihnya dibawa Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, premis berkenaan sudah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan pernah diserbu sebelum ini, namun masih degil menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen sah selain dikesan beroperasi sehingga pukul 6 pagi.
“Operasi ini hasil aduan orang awam yang memaklumkan berlakunya kegiatan pelacuran membabitkan warga asing, namun hasil pemeriksaan tidak menemui bukti yang menunjukkan kegiatan itu.
“Ketiga-tiga premis ini menjadi tumpuan warga Myanmar kerana terdapat penempatan warga asing di sekitarnya. Hasil pemeriksaan juga mendapati mereka menyediakan minuman keras tanpa cukai,” katanya.
Menurutnya, warga asing yang diserahkan kepada JIM didapati melanggar peraturan mengikut Seksyen 39(b) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka juga ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1988 kerana beroperasi tanpa kebenaran selain siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN