GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menolak laporan USA Today yang menyenaraikan destinasi pelancongan popular Bukit Bendera di sini, sebagai 100 ‘perangkap pelancong’ terbesar di seluruh dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pengumpulan data dalam artikel berkenaan dibuat tanpa bahasa utama lain yang digunakan di rantau ini seperti Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, Arab dan banyak lagi.
”Ulasan yang dibuat hanya berdasarkan 24 komen buruk mengenai Bukit Bendera.
”Ia juga dibuat tanpa mengambil kira jumlah ulasan baik yang diberikan oleh pengunjung memandangkan jumlah ulasan baik sebenarnya lebih banyak daripada ulasan yang buruk,” katanya di sini hari ini.
Akhbar harian Amerika, USA Today menerusi portal mereka pada 24 Ogos lalu menyiarkan artikel yang menyenaraikan 100 ‘perangkap pelancong’ terbesar di seluruh dunia.
Bukit Bendera termasuk dalam senarai tersebut yang mana USA Today meletakkannya sebagai perangkap pelancong terburuk di Asia dan ke sembilan di dunia.
Perangkap Pelancong itu memberi gambaran kepada destinasi yang lazimnya mengenakan bayaran berlebihan kepada pelancong.
Senarai itu juga bertujuan memberi informasi kepada pelancong dengan maklumat yang mereka perlukan sebelum merancang untuk melawat destinasi pelancongan yang popular.
Menurut Hon Wai, sejak 1923 terdapat 47 juta pelancong melawat Bukit Bendera dan jumlah itu bersamaan dengan kira-kira satu juta pengunjung pelancong setiap tahun.
”Ramai daripada mereka ialah pengunjung yang melawat kembali Bukit Bendera.
”Ia juga menunjukkan mereka tertarik dengan pesona Bukit Bendera sebagai salah satu tarikan utama,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan negeri akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan di Bukit Bendera untuk memberikan pengalaman baharu kepada pelancong pada masa depan.
“Projek kereta kabel baharu sudah pun dalam perancangan, ia dapat memberi pelancong pengalaman baharu,” katanya. – UTUSAN