Pulau Pinang perkenal kategori baharu rumah mampu milik RM100,000 - Utusan Malaysia

Pulau Pinang perkenal kategori baharu rumah mampu milik RM100,000

S. SUNDARAJOO (tengah) dalam sidang akhbar memperkenalkan kategori rumah mampu milik baharu kepada penduduk Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mewujudkan satu kategori baharu di bawah Rumah Mampu Milik Jenis B (RMM B2) bagi memastikan lebih ramai penduduk negeri itu mampu memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, RMM B2 itu akan ditawarkan dengan harga maksima RM100,000 untuk rumah berkeluasan 67 meter persegi (750 kaki persegi) dengan had pendapatan isi rumah bulanan pada kadar RM5,000.

Katanya, perkara itu masih dalam perancangan dan akan dibentang di peringkat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) sebelum skim itu sedia untuk diperkenalkan kepada penduduk Pulau Pinang dijangka November ini.

”Sebelum ini kerajaan negeri mempunyai skim RMM B1 dimana harga maksima yang ditawarkan untuk satu unit rumah berkeluasan 700 kaki persegi (65 meter persegi) adalah RM72,500 dengan had pendapatan isi rumah bulanan ialah RM3,500.

”Namun, kita dapati ada golongan muda yang baharu tamat pengajian dan mempunyai pendapatan bulanan sekitar RM5,000, jadi mereka ini tidak dapat peluang membeli rumah di bawah skim RMM B1 kerana pendapatan mereka lebih daripada RM3,500,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, skim baharu RMM B2 itu dapat mengisi keperluan golongan yang berpendapatan RM5,000 untuk memiliki rumah mampu milik di negeri itu.

Dalam pada itu, tambah beliau, kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat bekerjasama untuk membangunkan skim perumahan bagi golongan belia berkeluarga dan bujang melalui pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Giam di Jelutong.

”Kerajaan negeri telah mengemukakan usul kepada Kerajaan Pusat di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina satu blok 45 tingkat berkeluasan 500 kaki persegi (46 meter persegi) sebagai unit studio satu bilik untuk ditawarkan kepada kategori pemohon bujang.

”Satu lagi blok iaitu blok 44 tingkat berkeluasan 700 kaki persegi (65 meter persegi) dengan tiga bilik ditawarkan kepada kategori pemohon belia berkeluarga,” katanya.

Tambahnya, pembangunan projek itu akan dilaksanakan oleh KPKT di atas tapak kerajaan di atas petak B, Seksyen 1, Bandar Jelutong dengan keluasan 0.8 hektar.

”Peruntukan sebanyak RM100 juta telah diluluskan dalam program sentuhan kasih KPKT melibatkan pembangunan keseluruhan sebanyak 500 unit.

”Pada masa ini, reka bentuk bangunan telah ada, penetapan dasar dan syarat-syarat penawaran ke atas unit bujang dan belia ini akan diangkat untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBT),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya