Pulau Pinang: JPJ sita 9 motosikal, keluar 124 notis saman - Utusan Malaysia

Pulau Pinang: JPJ sita 9 motosikal, keluar 124 notis saman

JPJ Pulau Pinang menyita sembilan buah motosikal serta mengeluarkan 124 notis saman dan teknikal atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Motosikal berhampiran Plaza Tol Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak sembilan buah motosikal disita manakala 124 notis saman dan teknikal atas pelbagai kesalahan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam operasi penguatkuasaan di sini, kelmarin.

Dikenali sebagai Ops Khas Motosikal, operasi selama dua jam setengah bermula kira-kira pukul 4 petang itu dijalankan berhampiran Plaza Tol Kubang Semang, di sini.

Menurut jurucakap jabatan itu, operasi tersebut bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengendali atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

JPJ Pulau Pinang menyita sembilan buah motosikal serta mengeluarkan 124 notis saman dan teknikal atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Motosikal berhampiran Plaza Tol Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.

“Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi berkenaan ialah seperti tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

“Turut dikesan ialah kesalahan seperti mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan, tidak mempamerkan pelekat ‘P’, tiada cermin sisi serta mengubah suai motosikal tanpa kebenaran,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, pengendali atau pemilik motosikal dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Pada masa sama, mereka juga dinasihatkan memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya