Proses ambil keterangan Abdul Hadi selesai

Proses ambil keterangan Abdul Hadi selesai

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis sebentar tadi selesai mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Pejabat Pas Pusat, Jalan Raja Laut di sini yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam satu ceramah baru-baru ini.

Proses yang berlangsung selama satu jam itu bermula pada pukul 11.30 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari. 

Setiausaha Politiknya, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, Abdul Hadi memberikan kerjasama baik sepanjang proses rakaman percakapan itu dijalankan. 

“Keterangan diambil kira-kira satu jam, Tuan Guru (Abdul Hadi) ditemani seorang peguam ketika proses berlangsung. 

“Tuan Guru (Abdul Hadi) memberikan kerjasama baik dan menjawab soalan seorang pegawai polis berpangkat asisten superintenden,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Terdahulu, pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman tiba di di Pejabat Pas Pusat di sini kira-kira pukul 11.20 pagi. 

Bagaimanapun, kelibat Ahli Parlimen Marang itu tidak kelihatan sehingga kini. 

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam satu kenyataan di media sosial X (dulu dikenali Twitter) mengesahkan Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.

Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri, dua hari lalu dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya