GEORGE TOWN: Cadangan projek ternakan udang yang didakwa akan dibangunkan di atas tanah yang bakal dijadikan penempatan rumah nelayan di Kampung Kuala Juru, di Bukit Mertajam dekat sini, dihentikan berikutan tidak mempunyai kebenaran merancang.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, beliau telah dimaklumkan projek yang dicadangkan di bawah bidang kuasa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu telah dihentikan.
”Saya dimaklumkan projek tersebut telah diarahkan untuk dihentikan kerana tiada kebenaran merancang.
“Kita juga sudah berbincang dengan LKIM bersama nelayan untuk mengharmonikan keadaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, puluhan nelayan di Kampung Kuala Juru, di Bukit Mertajam membantah aktiviti ternakan udang yang didakwa bakal dibangunkan di atas tanah yang sepatutnya dilaksanakan projek perumahan untuk mereka.
Mereka mendakwa LKIM sebelum ini berjanji membantu golongan nelayan yang tidak mempunyai kediaman memiliki rumah sejak 25 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Kuala Juru, Wahid Othman berkata, bagaimanapun selepas lebih dua dekad berlalu, projek perumahan untuk penempatan nelayan serta penduduk yang dijanjikan itu masih belum dibina.
Malah, penduduk dikejutkan dengan pencerobohan sebuah syarikat yang tidak diketahui ke tanah berkeluasan hampir 11 hektar itu yang membersihkan kawasan tersebut bagi melaksanakan aktiviti ternakan udang. – UTUSAN