Projek Agro Tourism Paya Terubong bakal jadi ikon pelancongan baharu Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Projek Agro Tourism Paya Terubong bakal jadi ikon pelancongan baharu Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (kanan) meninjau pelan pembangunan Projek Agro Tourism Paya Terubong yang bakal menjadi ikon pelancongan baharu Pulau Pinang dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

GEORGE TOWN: Pulau Pinang bakal mempunyai sebuah lagi ikon pelancongan baharu membabitkan sektor agro pelancongan serta pertanian menerusi Projek Agro Tourism Paya Terubong.

Projek bernilai kira-kira RM40 juta itu akan dibangunkan ditanah pajakan milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seluas kira-kira 165 hektar oleh KAT Resources Sdn. Bhd. (KAT Resources).

Ketua Pegawai Eksekutif KAT Resources, Teoh Kok Aun berkata, pihaknya memperuntukkan RM20 juta untuk lima tahun pada permulaan yang mana tumpuan akan diberikan kepada pembangunan agro dan kerja-kerja infrastruktur.

”Sementara itu, dijangkakan RM20 juta diperlukan untuk pelaksanaan pembangunan pelancongan.

”Projek ini dijangka bermula selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan dan akan memerlukan tempoh kira-kira setahun bagi tujuan berkenaan dan projek ini serta akan mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Kok Aun mengadiri majlis menandatangani surat perjanjian projek Agro Tourism Paya Terubong antara PDC dan Kat Resources yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Menurut Kok Aun, projek itu melibatkan kawasan seluas 165 hektar yang masih belum diterokai secara terancang selama ini.

”Projek ini bukan sahaja dirancang untuk penanaman dan pembekalan makanan semata-mata, malah ia bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi dari segi perlancongan tanaman buah-buahan yang berhasil tinggi dan berpotensi.

”Antara buah-buahan yang akan ditanam adalah seperti durian ‘musang king’, ‘black torn’ serta ‘cempedak king’ dan ia juga dianggap sebagai daya tarikan tambahan kepada pelancong,” katanya.

Tambahnya, projek itu juga melibatkan kawasan rekreasi seperti ‘flying fox’, glamping dan aktiviti-aktiviti luar yang lain.

”Dianggarkan projek ini akan menjana kira-kira 400 peluang pekerjaan iaitu masing-masing mana sektor pertanian akan menjana sekitar 300 peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dan 100 peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan.

”Ia juga dianggarkan membawa hasil RM3 juta setahun daripada hasil tanaman dan RM5 juta setahun daripada sektor perlancongan.

“Ini tidak termasuk kesan positif kepada industri perhotelan, pengangkutan dan makanan yang berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, lokasi pembangunan projek itu sebelum ini terdedah kepada pencerobohan aktiviti pertanian.

”Menerusi perjanjian ini, kawasan tersebut akan dibangunkan secara sistematik dan terancang serta membawa faedah kepada sektor pertanian negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya