Program sokongan pendidikan SIMP akan diperluas - Utusan Malaysia

Program sokongan pendidikan SIMP akan diperluas

FARIZAN Darus (tengah) ketika menghadiri Program Pendidikan Hibrid (PHP) 2023 yang dianjurkan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Program sokongan pendidikan di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) akan diperluaskan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar daripada keluarga nelayan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, keputusan itu dibuat setelah program tersebut menerima sambutan baik daripada guru, pelajar dan ibu bapa.

Jelasnya, anak-anak nelayan yang belajar di sekolah berhampiran tapak PSI dari darjah satu hingga tingkatan enam dan yang telah berjaya memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) akan mendapat manfaat daripada program-program yang ditawarkan.

”Sebelum ini, program-program pendidikan di bawah skim SIMP hanya terbuka untuk pelajar sekolah rendah dan menengah hingga tingkatan lima.

“Maklum balas yang diterima daripada guru-guru sekolah dan pusat tuisyen yang terlibat sangat menggalakkan kerana program tersebut dapat membantu pelajar-pelajar.

“Oleh itu, adalah wajar untuk kami meneruskan dan memperluas program-program ini untuk kebaikan lebih ramai pelajar,” katanya di sini hari ini.

Program sokongan pendidikan SIMP yang menyasarkan anak nelayan itu merangkumi kelas pemulihan untuk 120 murid-murid darjah satu hingga darjah tiga.

Ia diadakan khas untuk meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (satu jam selepas waktu sekolah, dua kali seminggu), hadiah wang tunai dan baucar buku untuk anak nelayan yang melanjutkan pelajaran di mana-mana IPT di negara ini.

Program lain termasuk Program Jaya Didik yang menaja yuran kelas tuisyen untuk murid darjah satu hingga tingkatan enam dan Program Pendidikan Hibrid (PHP) oleh USAINS Holding dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk pelajar tingkatan dua hingga tingkatan lima.

Menurut Farizan, adalah menjadi komitmen pihaknya untuk membantu anak-anak nelayan setempat meningkatkan prestasi akademik dan mendorong mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, Farizan berkata, Program Pendidikan Hibrid (PHP) 2023 yang dianjurkan di USM baru-baru ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta.

“Program PHP tahun ini disertai 100 pelajar tingkatan dua hingga tingkatan Lima dari empat sekolah menengah di daerah Barat Daya berhampiran tapak PSI berbanding dengan 50 pelajar tingkatan lima tahun lalu dan kami mahu melihat PHP 2023 berjaya seperti program tahun lalu.

“PHP 2022 yang pertama kali diadakan berjaya kerana pelajar-pelajar yang mengambil bahagian berminat mengikuti aktiviti yang diaturkan dan dapat belajar teknik menjawab soalan SPM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya