Program Mikro Madani tawar pembiayaan hingga RM200,000

Program Mikro Madani tawar pembiayaan hingga RM200,000

EWON Benedick pada majlis pelancaran Program Mikro Madani di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani) yang dilancarkan hari ini menawarkan pembiayaan sehingga RM200,000 kepada usahawan mikro di seluruh negara membabitkan dana keseluruhan RM100 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Mikro Madani dijangka memanfaatkan seramai 20,700 usahawan.

Beliau berkata, permohonan bagi Mikro Madani akan dibuka bermula hari ini kepada usahawan mikro di seluruh negara.

“Siri jerayawara Program Mikro Madani juga akan dilaksanakan di seluruh negara bermula di Kuantan pada 22 September, diikuti Kuching (1 Oktober), Johor Bahru (10 Oktober), Alor Setar (12 Oktober) dan Kota Kinabalu (17 Oktober).

“Program Mikro Madani ini adalah sebahagian peruntukan khusus RM400 juta seperti diumumkan oleh kerajaan di bawah kerangka Ekonomi Madani,” katanya pada majlis pelancaran Program Mikro Madani, hari ini.

Katanya, Program Mikro Madani menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro dalam bentuk geran dan pinjaman serta baucar untuk pendaftaran status Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Ewon berkata, pinjaman itu ditawarkan menerusi lima inisiatif iaitu Geran Perniagaan Mikro (GPM); Pembiayaan Perniagaan Mikro (Micro Biz Financing (MBF); Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE (Tunas Usahawan Belia Bumiputera); (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak; Program Peningkatan Enterpris Bumiputera dan Baucar Status PMKS.

Menurutya, setakat ini, SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperakukan pendaftaran sebanyak 26,534 pemohon berstatus PMKS setakat Ogos lalu.

“Bagi mempermudahkan permohonan perusahaan mikro untuk Program Mikro Madani ini, permohonan boleh dibuat secara dalam talian (online),” katanya.

Katanya, beliau mahu PMKS merebut peluang daripada pelbagai inisiatif dan insentif yang ditawarkan di bawah SME Corp sekali gus meningkatkan keupayaan PMKS ke tahap lebih tinggi.

Ewon berkata, kementerian akan terus memberikan sokongan dalam memastikan supaya keupayaan PMKS dapat bersama-sama membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Ewon berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 231 program keusahawanan dan pembangunan PMKS dilaksanakan lebih 60 kementerian dan agensi.

Katanya, program itu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM17.8 bilion dan memanfaatkan lebih 800,000 usahawan dan PMKS di seluruh negara.

“Bagi tahun 2023 pula, sejumlah 81 program sedang dilaksanakan untuk pembangunan perusahaan mikro dengan peruntukan sebanyak RM8.8 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya