Prihatin komited bantu 89,000 pelajar B40 seluruh negara

Prihatin komited bantu 89,000 pelajar B40 seluruh negara

MOHD. ALI Mohd. Rustam menyampaikan replika cek berjumlah RM60,000 daripada Prihatin di Dewan Canselor UTeM, Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) komited menyalurkan bantuan kepada kira-kira 89,000 pelajar yang dikategorikan dalam golongan B40.

Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali berkata, setakat ini pihaknya telah membantu 4,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melalui siri jelajah di tujuh buah negeri dengan kos perbelanjaan mencecah RM4 juta.

Menurutnya, bantuan diberikan adalah kewangan, peralatan sekolah, komputer riba dan pelbagai bentuk bantuan lain berdasarkan sumbangan rakan strategik Prihatin.

Ujarnya, sumbangan turut diperoleh menerusi penganjuran konsert artis terkenal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan artis terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, tahun lalu.

“Kita dimaklumkan seramai 89,000 pelajar adalah dari golongan B40 dan data ini diperolehi selepas menghubungi pihak universiti dan pihak zakat negeri. Kita tak boleh bantu semua secara serentak tetapi apa yang kami buat adalah kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan-rakan korporat yang lain.

“Namun, kita ada perancangan bagaimana nak menyalurkan bantuan kepada mereka dalam bentuk kewangan, bantuan alat tulis, baucar buku dan sebagainya sepanjang tahun ini.

“Ini semua bergantung kepada rakan strategik Prihatin seperti Yayasan Taqwa, DXN Holdings Berhad serta beberapa syarikat swasta yang ingin bekerjasama dengan kami,” katanya kepada pemberita selepas Program Kepimpinan Anak Muda Peringkat Negeri di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Tambah Mohd. Aizuddin, seramai 600 pelajar B40 UTeM dan golongan asnaf di Melaka dibantu dengan pemberian wang tunai RM200 setiap seorang.

“Selepas ini program ini akan bergerak ke Johor, selain pelajar dari Sabah dan Sarawak juga akan mendapat manfaat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya