PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan 100 peratus atau semua tandas awam yang berada di Pusat Pentadbiran Kerajaan menerima penarafan empat hingga lima bintang.
Presidennya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, bagi tujuan itu, PPj menjalankan sesi audit penarafan tandas awam melibatkan pelbagai kategori sebanyak dua siri setiap tahun mengikut piawaian ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“PPj menganjurkan seminar pengurusan tandas awam bersih kepada pemilik dan penyelia tandas untuk memberi bimbangan dan tunjuk ajar bagaimana membersihkan tandas dengan betul.
“Bagi memantapkan pengetahuan dan pendedahan kepada kaedah pengurusan tandas, bengkel penilaian dan pengauditan kendiri turut diadakan untuk memberi tunjuk ajar cara penilaian tandas kepada wakil premis dan penyelia, sekali gus dilantik sebagai auditor tandas milikannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Putrajaya 2023 di sini hari ini.
Fadlun berkata, melalui audit kendiri, tandas awam yang mendapat lima bintang layak menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PPj dan auditor Bahagian Kesihatan Persekitaran akan menjalankan pemeriksaan semula ke atas premis berkenaan.
Jelasnya, objektif pengiktirafan itu bertujuan mempertingkat kesedaran dalam kalangan pemilik, penyelia dan pekerja pembersihan mengenai kepentingan kebersihan tandas selain memupuk rasa tanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan imej pusat pentadbiran kerajaan.
“Semua pihak di setiap peringkat perlu sama-sama menggembleng inisiatif, usaha dan komitmen berterusan bagi memastikan kebersihan tandas di seluruh Putrajaya adalah seiring dengan imej Putrajaya Bandar Bersih Peringkat ASEAN dan Bandaraya Pentadbiran Mampan bertaraf dunia,” ujarnya.
Antara kategori yang dipertandingkan bagi pengiktirafan tandas awam bersih dan cantik peringkat Putrajaya termasuk lah premis makanan, kompleks swasta, klinik swasta, taman rekreasi dan rumah ibadat. – UTUSAN