Portal data terbuka kerajaan permulaan ketelusan sektor awam - PM

Portal data terbuka kerajaan permulaan ketelusan sektor awam – PM

Anwar Ibrahim ketika bertemu Unit Nukleus GovTech, di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. - GAMBAR IHSAN PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembaharuan portal Data Terbuka Sektor Awam menerusi data.gov.my menandakan permulaan era baharu bagi memantapkan ketelusan sektor awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, portal data terbuka rasmi kerajaan Malaysia itu merangkumi pelbagai set data terperinci (granular) dan berfrekuensi tinggi (high-frequency) secara terbuka.

Portal ini dilengkapi dengan API Terbuka (OpenAPI) rasmi Malaysia, papan pemuka bersifat analitik (analytical dashboards), katalog data serta kecerdasan buatan (Artificial Intelligence).

Jelasnya, inovasi digital itu tentunya mampu mendorong inovasi berpacukan data di sektor awam dan swasta.

“Saya amat berbangga untuk menyatakan bahawa kejayaan ini dicapai dalam tempoh empat bulan sahaja atas usaha yang diterajui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bersama Unit Nukleus GovTech.

“Kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat menekankan agenda pendigitalan sebagai pemacu inovasi dan pencambah produktiviti negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali melancarkan portal tersebut semasa merasmikan Persidangan Digital Sektor Awam (PDiSA) 2023 di sini hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, portal OpenDOSM (open.dosm.gov.my) juga dinaik taraf sebagai salah satu komponen penting dalam infrastruktur data terbuka nasional.

Beliau berkata, kerajaan memainkan peranan penting dalam membina ekosistem pendorong yang akan merancakkan ekonomi berteraskan digital dan meningkatkan daya saing negara di rantau Asia tenggara dan persada dunia.

Oleh itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempergiat revolusi digital dalam sektor awam dan salah satu inisiatif termasuklah penubuhan GovTech Malaysia.

“Di samping MAMPU yang memainkan peranan penting dalam merancang dan menyelaras pendigitalan sektor awam, pendekatan GovTech adalah membolehkan pelaksanaan projek digital sektor awam tanpa penglibatan perunding dan kontraktor luar.

“Pembaharuan portal data.gov.my membuktikan bahawa sesuatu produk bertaraf dunia dapat dihasilkan dengan pantas sekiranya kerajaan berjaya menarik bakat yang sesuai untuk berkhidmat dalam sektor awam,” katanya.

Anwar pada masa sama mengharapkan semua kementerian, jabatan, dan agensi sektor awam memberi kerjasama penuh kepada MAMPU dalam terus memperkasakan usaha penyediaan data terbuka.

Jelasnya, ketelusan merupakan salah satu tunjang kepada sebuah demokrasi yang subur; maka sektor awam perlu memantapkan ketelusan dalam mendukung amanah kerajaan kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya