SHAH ALAM: Pemilihan dan kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) di seluruh negara wajar dilihat setara dengan universiti-universiti termasuklah penawaran bidang pengajiannya perlu dinilai kedudukannya sama seperti akademik.
Justeru, transformasi dan pendigitalan dalam kemahiran atau TVET perlu dilakukan dengan matlamat tersebut supaya dapat menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai Politeknik serta Kolej Kemahiran sebagai pilihan pendidikan tertiari.
Menterinya Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan sedang melaksanakan usaha untuk memastikan anak muda melanjutkan pelajaran terutama dalam bidang teknikal dan kemahiran.
Menurutnya, generasi muda tidak boleh terlalu mengharapkan peluang dalam ekonomi gig sebagai satu-satunya jalan yang boleh memberikan pendapatan tinggi tanpa memiliki sebarang kemahiran atau tauliah pendidikan.
“Kurangnya minat sambung belajar secara umum dalam kalangan orang muda kerana mereka nampak ekonomi gig boleh menjamin masa depan mereka. Tetapi, ekonomi gig itu hanyalah bersifat sementara, ia dari segi jangka panjang mungkin tak dapat menampung keperluan advancement dalam kehidupan seseorang.
“Jadi seseorang itu memang perlu sama ada kelulusan akademik ataupun kemahiran, kalau dia hendak pergi lebih jauh. Hari ini dengan melaksanakan pendigitalan, kita hendak tunjukkan betapa seronoknya belajar dalam Politeknik dalam kemahiran dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Minggu TVET Digital PolyCC, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan trend permohonan melanjutkan pelajaran dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di 22 Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) pada tahun lepas mencatatkan penurunan ketara berbanding sambutan pada 2019.
Seramai 15,048 permohonan diterima di semua ILKBS pada 2019; 16,989 pada 2020; 7,496 pada 2021 dan 9,833 pada 2022 serta 6,361 setakat sesi satu tahun ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled dalam ucapannya memaklumkan kementeriannya bersedia mempertimbang pemberian peruntukan yang saksama seperti universiti-universiti untuk memastikan semua kesetaraan kedua-dua kluster institusi pendidikan tinggi itu.
“Kemahiran yang disediakan melalui pengajian Politeknik adalah setanding dengan kedudukan akademik yang lain. Aliran kemahiran dan Politeknik bukan pilihan kedua dan pastinya bukan yang terakhir.
Sebaliknya, ia adalah kemahiran yang setanding dengan jurusan-jurusan lain di universiti. Saya ingat sudah sampai masanya kita perkasakan, mengukuhkan sistem Politeknik supaya dalam sistem TVET dalam negara kita maknanya Politeknik menjadi apex, maknanya yang tertinggi,” tegasnya. – UTUSAN