JOHOR BAHRU: Setelah melahirkan seramai 36,509 graduan sejak tahun 2000, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini melakar sejarah baharu apabila buat pertama kalinya seorang graduan luar negara turut menamatkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) itu.
Manaig Jasley Balisa, 23, yang berasal dari Filipina berkata, dia gembira kerana memilih PIS sebagai tempat menyambung pengajian peringkat tinggi, khususnya dalam Diploma Rekabentuk Grafik.
Katanya, PIS bukan sahaja menawarkan pengalaman pembelajaran serba lengkap, malah, turut memberi pengalaman tentang kehidupan.
“Keputusan memasuki PIS ini dibuat dengan persetujuan keluarga. Ibu saya antara yang sangat gembira apabila saya dapat sambung pengajian di sini. Suasana pembelajaran di sini sangat menarik dengan pensyarah-pensyarah yang profesional dan menyokong pembelajaran penuntut.
“Setelah tamat pengajian di sini, saya rasa teruja untuk melihat ke mana haluan hidup selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan ke-28, di sini.
Sehubungan itu, Manaig Jasley Balisa turut mengajak lebih ramai lagi generasi muda termasuk penuntut antarabangsa untuk menjadikan PIS sebagai IPT pilihan mereka.
Sementara itu, Pengarah PIS, Ulaimi Yahya pula memberitahu, kadar kebolehpasaran graduan PIS bagi tahun 2023 adalah sebanyak 97.7 peratus.
“Ini membuktikan graduan PIS menjadi buruan majikan manakala yang lain turut melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Pada majlis konvokesyen tersebut, seramai 1,095 graduan daripada empat jabatan akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal serta Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti menerima skrol mereka.
Seramai 22 daripada mereka adalah graduan program ijazah sarjana muda, 1,070 graduan diploma manakala tiga yang lain daripada program sijil kemahiran khas. -UTUSAN